Farra aktif berdakwah
FARIHAH Mohamed Arshad atau popular dengan nama Farra, pernah menghiasi dunia seni tanah air suatu ketika dahulu.
Lagu Bagaikan Puteri melonjakkan namanya dan menjadi siulan anak muda ketika itu.
Itu kisah lama, Farra kini sudah jauh berubah. Hampir 20 tahun beliau berhijrah menjadi Muslimah yang diredai ALLAH SWT. Beliau kini giat menggali dan menuntut ilmu agama serta aktif dengan kerja-kerja dakwah.
Aktif kerja dakwah
Menceritakan perjalanan dakwah dan aktiviti kebajikan yang dilakukan, Farra berkata pembabitannya dengan Pertubuhan Quran Daily Malaysia (PQDM) adalah secara tanpa sengaja.
"Sekitar tahun 2014, semasa mengikuti sesi daurah tafsir al-Quran, saya dijemput oleh pengasas PQDM, Puan Rahana Ab Rahim bersama suaminya, Hj Mustapa Omar untuk bersama menjayakan misi PQDM iaitu menjadikan al-Quran untuk dibaca,
faham dan amal.
"PQDM bermula dengan mewujudkan Quran Daily (QD) pada Mei 2014. Aktiviti QD diperlengkapkan lagi dengan aktiviti amal melalui Projek Infak Quran Daily (PIQD) dan aktiviti ilmu melalui Biro Ilmu Quran Daily (BIQD). Saya bermula sebagai admin
grup, setelah berjaya khatam al-Quran. Saya menjadi mentor dan dalam masa yang sama turut mengendalikan BIQD, kursus jenazah dan kursus solat," cerita ibu tiga anak ini.
Kursus jenazah
Menurutnya, terdapat pelbagai cara untuk berdakwah dan ia tidak tertakluk kepada aktiviti berceramah sahaja. Terkini, Farra bersama kumpulan Pengurusan Jenazah Muslimah (PJM) aktif mengadakan kursus jenazah yang juga dikendalikan di bawah PQDM.
"Kursus jenazah diadakan apabila mendapat permintaan dan setakat ini sambutan yang diterima adalah menggalakkan. Kami menggunakan buku pengurusan jenazah yang ditulis oleh fasilitator, Mariah sepanjang berlangsungnya kursus berkenaan.
"Alhamdulillah, sekarang ini PJM semakin berkembang biak dan setakat ini mempunyai 12 cawangan bagi kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.
Kami memberi pendedahan mengenai cara mandi dan mengkapankan jenazah mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW," jelasnya yang juga aktif dalam menjalankan perniagaan, Farra Apparel menerusi dalam talian.
Ujarnya, objektif Farra Apparel adalah untuk menawarkan rangkaian busana muslimah yang aktif, selesa dan bergaya, serta menepati syariat.
Tabiat baca Quran
Pasti ramai yang tertanya-tanya mengenai QD, kata Farra QD adalah satu kumpulan atau gabungan individu dalam Aplikasi WhatsApp bertujuan membentuk tabiat membaca al-Quran setiap hari dengan pemahaman yang jelas
"Idea untuk mewujudkan QD lahir daripada Rahana, QD hanyalah untuk golongan Muslimat dan ia ditubuhkan pada Mei 2014. Sebulan selepas penubuhan QD barulah, suami Rahana, Mustapa Omar memulakan untuk Muslimin pula dengan menggunakan
pendekatan yang sama iaitu baca, faham dan amal al-Quran.
"Sesuai dengan zaman berteknologi, kami rangkakan pula grup di Aplikasi WhatsApp dan bagi setiap grup yang dibuka akan dilantik seorang admin dalam kalangan ahli berkaliber dan seorang mentor bertujuan untuk membantu admin dalam setiap grup.
Lebih 2200 telah menjadi ahli grup ini," jelasnya panjang.
Farra berkata lagi, mentor dan admin inilah yang menghuraikan ayat al-Quran yang dibaca setiap hari. Penghuraian ayat ini diambil daripada Sahih Tafsir Ibnu Katsir dengan dialih bahasakan kepada Bahasa Melayu supaya mudah difahami ahlinya.
Selain itu, perkongsian ilmu yang bermanfaat juga turut dikongsikan. Maka terlahirlah aktiviti 1 Hari 1 Sunnah, Siri Ramadan Di hatiku, Siri Motivasi dan Peringatan Daripada Al-Quran dan Tiada Hari Tanpa Sunnah.
Grup QD dalam Aplikasi WhatsApp:
- 44 grup Muslimat dan 11 grup Muslimin dibuka
- 23 grup Muslimat dan 4 grup Muslimin sudah khatam al-Quran
Projek Infak Quran Daily
Farra menjelaskan terdapat satu lagi grup yang lahir daripada QD dan sangat besar manfaat kepada orang ramai. Iaitu grup Projek Infak Quran Daily (PIQD) yang terdiri daripada ahli-ahli QD yang dermawan dan cenderung dalam melakukan aktiviti kebajikan.
"Antara orang penting yang banyak membantu mengurus serta menjayakan aktiviti kebajikan di bawah PIQD adalah, Puan Lynnda Abbas. Malah, beliau juga individu yang banyak memberikan semangat kepada saya untuk terus istiqamah di lapangan dakwah.
"Alhamdulillah, melalui PIQD, telah banyak aktiviti kebajikan dan dakwah dapat kami laksanakan di dalam dan di luar negara. Selain itu. QD turut menganjurkan kursus untuk masyarakat sekitar Lembah Klang dan juga luar dari Lembah Klang. Antara kursus yang telah dianjurkan adalah Kesempurnaan Solat Mengikut Rasulullah SAW dan Kursus Pengurusan Jenazah Mengikut Sunnah."
Katanya lagi, aktiviti ini diterajui oleh Biro Ilmu QD. Ramai peserta yang mengikuti kelas-kelas tersebut mendapat manfaat serta dapat menguruskan jenazah kaum keluarga dan orang terdekat.
Aktiviti kebajikan
- Agihan infaq Mushaf al-Quran, Tafsir Iqra dan kitab-kitab agama pada madrasah dan sekolah tahfiz.
- Pembinaan beberapa telaga di Kemboja, Nigeria, Ghana dan di Kem Rohingya Coxs Bazar Bangladesh.
- Pembinaan masjid dan surau.
- Penambahbaikan masjid dan sekolah di Nigeria, Bangladesh, Kemboja. - Ibadah korban di Malaysia, Kemboja, Bangladesh dan Nigeria.
Kenapa saya berniqab
MELIHAT kepada penampilannya hari ini, pasti ramai yang tertanyatanya inikah Farra penyanyi dahulu?. Sambil tersenyum Farra berkongsi, cabaran ketika berhijrah tidaklah seserius ketika beliau mengambil keputusan untuk berniqab.
"Semasa saya berkeputusan untuk berniqab. Saya melalui cabaran getir kerana ramai yang tidak menggemarinya. Namun, bila saya baca beberapa buku dan mengikuti kelas, saya berasakan tujuan pemakaian niqab, sama ada wajib atau harus, sebenarnya adalah untuk mengelakkan fitnah.
"Kalau dalam hukum wajib, niqab ini dipakai kerana perempuan itu menjadi sumber ujian kepada lelaki dan untuk memuliakan serta menjaga perempuan itu sendiri. Kalau hukum harus pula, niqab dipakai kerana mengelakkan fitnah kepada diri dan orang sekeliling.
Contohnya kalau dia terlalu cantik, maka dia perlu memakai purdah agar kurang sedikit perhatian orang kepadanya. Ditakuti, perhatian orang itu akan menimbulkan fitnah." katanya.
Jelas Farra, sebab itulah beliau berasakan masyarakat perlu lebih peka dan memahami mengapa seseorang itu berniqab dan jangan terus menghukum dan melabelkan mereka memakai sekadar untuk menunjuk-nunjuk.
Menurutnya, beliau berharap agar dirinya dan juga Muslim yang lain terus diberikan petunjuk daripada ALLAH untuk terus mempelajari ilmu dan memahami al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment