Cikgu Azizan lawan budaya zombie

Monday, January 1, 2018

Cikgu Azizan lawan budaya zombie

Cikgu Azizan lawan budaya zombie

TINDAKAN didik seorang guru yang bernama Cikgu Azizan Manap terhadap muridnya  mendapat sokongan padu daripada  pendidik. Mahkamah akhirnya melepaskan cikgu tanpa dibebaskan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd Razak, mendesak Kementerian untuk cepatkan membentuk kod etika ibu bapa. Malaysian Insight melaporkan Presiden berkata: “Sekarang ini kod etika tak ada. Mak ayah ikut dia saja nak buat apa. Jadi guru memang tak boleh nak protect (lindungi) diri”.

Tahniah kepada guru-guru kerana bertegas menyokong budaya tajdid pendidikan. Sebagai pendakwah akar umbi selama lebih 25 tahun, saya nampak dengan mata kepala sendiri betapa budaya generasi muda di negara kita semakin menjadi zombie gajet. Apakah itu zombie gajet?

Contoh mudahnya ialah cuba perhatikan apa yang kelihatan seperti 'manusia-manusia' di kompleks membeli-belah zaman sekarang. Apa yang anda nampak? Manusia-manusia ini berkumpul, bahkan ada yang berdating dengan pasangan mereka. Kelihatan normal tapi apa yang tak kena?

Bila anda perhatikan lebih teliti lagi, anda sedar yang manusia-manusia ini tidak berkomunikasi antara satu sama lain walaupun mereka dalam kumpulan keluarga mereka sendiri, seolah-olah mereka ini seperti zombie yang berkumpul tanpa komunikasi antara satu sama lain!

Bezanya zombie dalam filem adalah pemburu otak manusia. Zombie gajet ini tidak obses pada otak. Mereka obses pada gajet. Mereka tidak bercakap antara satu sama lain bukan kerana mereka tak ada otak, tapi kerana kewujudan mereka adalah ditakrifkan oleh gajet yang mereka pegang.

Kalau generasi muda zombie ini diminta memilih antara dua pilihan: sama ada otak guru atau gajet, mereka akan pilih gajet. Bagi mereka, otak gajet lebih bernilai daripada otak dan ilmu guru. Tanpa disedari, mereka ini semakin di'dehumanize' atau dihakis kemanusiaan secara berperingkat bila gajet semakin mengambil alih kemanusiaan mereka.

Mengapa gajet diutamakan daripada guru? Sebagai contohnya, pelajar- pelajar sekarang sudah ada profesor Google di gajet mereka.

Maklumat-maklumat begitu mudah diperoleh dalam beberapa saat sahaja seperti makanan segera. Dengan wujudnya pelbagai laman sesawang open learning, semakin mudah maklumat berada di bawah kuasa jari seorang pelajar. Yang penting, dia rasa bahawa dia berkuasa ke atas maklumat dan profesor Google.

Bila pelajar melihat seorang guru di sekolah, apa di mindanya ialah dia kiaskan gurunya dengan gajet yang dia pegang. Dia berkuasa ke atas guru sebagaimana dia berkuasa atas gajet. "Kalau guru pukul aku, aku campak guru itu ke sampah seperti aku campak gajet aku. Apa aku takut sedangkan banyak lagi gajet-gajet murah yang lain?"

Inilah budaya zombie gajet. Guru dilihat seperti gajet dan Google. Hanya sekadar penyampai maklumat sahaja.

Pendidikan hanya sekadar didefinisikan sebagai melahirkan pelajar-pelajar yang bakal menjadi Qarun maklumat dan harta. Qarun hanya memiliki banyak maklumat tentang bagaimana mengumpul lebih banyak harta lagi. Malangnya, beliau semakin menjadi zombie sehingga hilang kawalan diri. Qarun miskin diri.

Budaya zombie benci pada istilah kawal diri atau disiplin. "Guru hanya Google dalam gajet aku, mengapa pula guru perlu kawal dan disiplinkan aku? Aku yang pegang gajet. Aku yang pegang guru."

Budaya narsisisme (sikap agungkan diri sendiri) ini semakin mendapat pengukuhan bila setiap pelajar rasa dirinya hero di media sosial. Dia rasa dirinya pahlawan dengan papan kekuncinya. Dia rasanya dirinya mendapat 'likes' ramai di Facebook, Instagram. Dia rasa agung. Inilah yang dikatakan student centered learning?

Semua ini tidak boleh disalahkan sekadar pada generasi muda. Mereka ini adalah produk generasi sebelum ini. Semua pihak bertanggungjawab. Ketegasan Cikgu Azizan patut menjadi wake up call untuk rakyat Malaysia seluruhnya: Muhasabahlah diri punca sebenar budaya zombie ini.

Taxonomy Bloom yang digunakan untuk penilaian pelajar patut dikaji semula. Siapakah Bloom? Nama penuhnya Benjamin Samuel Bloom. Seorang Yahudi yang pernah menjadi penasihat sistem pendidikan Israel. Apakah ini yang melahirkan budaya zombie?

Bersambung...

*Abdul Naser Tun Rahman, Tokoh Pendakwah Perak, fikirkalam.blogspot.com

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment