Betis tercucuk tongkat motosikal
PORT DICKSON: Seorang penunggang motosikal menahan kesakitan lebih sejam apabila tongkat motosikalnya tercucuk pada bahagian betis selepas terbabit kemalangan dengan sebuah bas di Jalan Bypass di sini, tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari berhampiran Taman Muhibah itu, V Manimaran, 27, turut terperosok di bawah bas persiaran terbabit.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, S Maniam, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.18 tengah hari dan bergegas ke lokasi bersama dua jentera dan sembilan anggota.
Katanya, sebaik tiba di lokasi pada jam 12.27 tengah hari, pihaknya mendapati mangsa tersepit berhampiran tayar bas yang tiada penumpang.
"Bomba mengambil masa 45 minit memotong tongkat motosikal yang tercucuk pada betis kanan mangsa menggunakan pemotong hidrolik, sebelum dapat mengeluarkannya," katanya di sini, hari ini.
Maniam berkata, mangsa yang turut mengalami beberapa kecederaan lain kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan, manakala pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment