Bekalan minyak paket kurang

Wednesday, January 10, 2018

Bekalan minyak paket kurang

Bekalan minyak paket kurang

KUALA TERENGGANU - Bekalan minyak masak paket agak sukar di dapati sejak kebelakangan ini dan ia menimbulkan keresahan dalam kalangan peniaga di sini kerana terpaksa berhadapan dengan pelanggan yang ingin mendapatkan bekalan itu.

Peniaga kedai runcit, Faridah Ng Mei Wan Abdullah, 59, berkata, bekalan minyak masak paket sudah lama tidak dijual di kedainya itu kerana bekalan agak terhad malah terdapat kuota yang ditetapkan bagi setiap peniaga.

“Sebelum ini tiada masalah kalau nak ambil sampai 10 kotak minyak. Tetapi, sekarang pembekal hanya membenarkan lima kotak yang mengandungi 12 paket minyak bagi setiap satu kotak bagi setiap kedai.

“Biasanya, kedai saya akan ambil 10 kotak, bila dah dapat separuh ia akan cepat terjual dan ramai juga pelanggan yang tidak sempat membeli dan terpaksa mendapatkan bekalan minyak masak dalam botol,” katanya ketika ditemui di kedai runcitnya, di Jalan Sultan Mahmud, di sini.

Faridah berkata, dia juga ada ke pasar borong bagi mendapatkan bekalan minyak masa paket tetapi usahanya gagal kerana bekalan itu tiada.

“Biasanya saya ada juga cari minyak paket di pasar, tetapi hari ini saya pergi tiada pula minyak pekat di situ,” katanya yang mendapatkan bekalan minyak masak dari Kota Bharu.

Kebanyakan peniaga kini hanya menjual minyak masal botol berbanding paket, manakala jualan tepung pula tiada masalah bekalan.

Menurut Faridah, bagi gandum pula bekalan diterima seperti biasa dan dia tidak menghadapi masalah kerana menjual tepung gandum biasa (cap sauh) yang tiada subsidi.

“Kalau saya ambil tepung gandum yang bersubsidi mungkin saya juga akan alami masalah dari segi bekalan kerana tepung gandum itu mendapat permintaan tinggi kerana harganya murah,” katanya.

Seorang lagi peniaga kedai runcit di jalan Mengabang Tengah di sini berkata, di kedainya hanya menjual minyak masak botol dan tidak menjual minyak masak paket ekoran kesukaran mendapatkan bekalan itu.

“Minyak masak botol tak ada masalah, tapi minyak masak paket kena cari sebab ada kuota yang ditetapkan.

“Jadi, di kedai saya ni bekalan terputus sebab saya masih belum ambil lagi dekat pembekal di Jalan Tok Lam yang sepatutnya diambil 5 Januari lalu. Walaupun ada kuota yang ditetapkan, saya tiada masalah sebab tak pernah ambil lebih dari kouta,” katanya.

Ditanya mengenai bekalan tepung gandum pula, katanya, ia tiada masalah cuma buat masa ini agak sukar mendapatkan bekalan tepung gandum subsidi cap kunci.

“Pelanggan kebanyakannya akan cari tepung gandum cap kunci kerana ia tepung gandum subsidi dan harganya agak murah sekitar RM1.30 sekilogram berbanding tepung biasa RM2.20 sekilogram.

“Buat masa ini saya hanya menjual tepung gandum cap cempaka dan tepung gandum biasa tanpa harga subsidi,” katanya.

Hadkan lima paket satu keluarga

Tinjauan di dua pasar raya di daerah ini mendapati salah sebuah pasar raya ada menjual minyak masa paket namun ia dihadkan hanya sebanyak lima paket bagi setiap keluarga.

Manakala sebuah lagi pasar raya dilihat hanya membekalkan minyak masak botol dan tidak terdapat minyak masa paket yang dipamerkan kepada pelanggan.

Bagaimanapun, tinjauan bagi bekalan gandum di kedua-dua pasar raya itu juga dijual seperti biasa dan kebanyakannya masih mempunyai stok yang dijual kepada pelanggan.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata setakat ini pihaknya tiada menerima aduan mengatakan bekalan bagi kedua-dua barangan itu terputus.

“Sehingga kini kita tidak hadapi masalah malah tiada sebarang aduan terima mengatakan bekalan bagi dua barangan ini alami masalah. Jadi, buat masa ini bekalan masih cukup di negeri ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber:
sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment