1 mati, 1 cedera kes amuk di Belaga

Monday, January 1, 2018

1 mati, 1 cedera kes amuk di Belaga

1 mati, 1 cedera kes amuk di Belaga

BELAGA: Seorang lelaki warga emas maut selepas ditetak anak kandungnya dalam kejadian amuk di Rumah Panjang Long Pawah, di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Belaga, Deputi Superintendan Melay Tingom ketika dihubungi memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi apabila suspek berusia 26 tahun itu dikatakan tiba-tiba mengamuk.

Katanya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, namun siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian selepas berlaku perselisihan faham dengan bapanya.

"Suspek dikatakan sering dimarahi bapanya tiba-tiba mengamuk lalu melibas parang ke arah tuai rumah yang cuba menenangkannya dengan bantuan beberapa penghuni lain.

"Namun, suspek terus bertindak agresif dengan mencederakan beberapa jiran lain sebelum menetak bapanya yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius," katanya.

Bertindak atas maklumat awam, sepasukan pegawai dan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua jam dari Pekan Belaga.

"Kita berjaya menahan suspek yang menyerah diri sejurus menyedari kehadiran polis. Suspek dikatakan bingung kerana tidak dapat melarikan diri memandangkan rumah panjang itu hanya dapat dihubungi melalui sungai," katanya.

Katanya, polis berjaya menemui sebilah parang senjata pembunuhan itu yang diletakkan di bawah singki rumah suspek.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bintulu untuk dibedah siasat, manakala seorang lagi mangsa yang cedera turut dimasukkan ke hospital sama dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment