Wajarkah GPS bergerak sebagai satu parti tanpa komponen?

Saturday, June 16, 2018

Wajarkah GPS bergerak sebagai satu parti tanpa komponen?

Wajarkah GPS bergerak sebagai satu parti tanpa komponen?

KUCHING: Cadangan mewujudkan satu parti berbilang kaum dan agama di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dianggap idea di luar kotak dan tindakan 'radikal' dalam konteks berpolitik berasaskan kaum di negeri ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Mohd Fadzil Abd Rahman, berkata cadangan itu diyakini bukan dibuat membuta tuli dan didorong persepsi semata-mata, sebaliknya bersandarkan semangat serta toleransi.

"Bukan mustahil bagi GPS menjadi entiti parti berbilang kaum kerana tiada siapa mampu menyangkal dan mempersoalkan keunikan Sarawak yang mencerminkan semangat perpaduan, hormat menghormati dan toleransi tinggi.

"Jadi, dengan kelebihan itu, bukanlah sukar dan mustahil bagi parti gabungan GPS memikirkan kewajaran mewujudkan satu parti merentasi kaum mewakili parti tempatan," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Semalam, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang juga Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing, mencadangkan GPS bergerak sebagai satu parti berbilang kaum.

Bagaimanapun, cadangan itu dibantah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Cadangan Masing membubarkan PBB, PRS, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) dikemukakan pada Mesyuarat Barisan Nasional (BN) Sarawak, pada 12 Jun lalu.

Begitu pun, idea itu ditolak 'sementara' kerana Ketua Menteri yang juga Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, belum memberi maklum balas.

Selepas tamat mesyuarat berkenaan, sidang media diadakan bagi memaklumkan kesemua empat parti komponen keluar BN Sarawak dan menubuhkan GPS.

Mohd Fadzil ketika mengulas lanjut berkata, penolakan pengundi Cina kepada SUPP dan ketidakstabilan PRS, antara faktor perlu dipertimbangkan untuk mewajarkan penubuhan satu parti berbilang kaum itu menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) akan datang.

"Senario politik abad ke-21 sudah menjadi semakin rumit dan mencabar. Kita berada di era yang mana persepsi boleh menjadi realiti dan realiti juga boleh bertukar menjadi persepsi," katanya.

Beliau berkata, proses mewujudkan satu parti berbilang kaum bergantung kepada keupayaan kepemimpinan untuk menilai, berjiwa besar dan cakna terhadap tuntutan, selain bijak mencuri peluang, sekali gus mencipta pembaharuan.

"Kelangsungan kuasa politik pada abad ini bergantung sepenuhnya kepada kesemua faktor dinyatakan itu. Soalnya sekarang, sama ada berani atau tidak?

"Perlu diambil kira, walaupun GPS adalah gabungan baharu politik, realitinya isu dan stigma yang melanda parti gabungan itu masih terus diheret bersama.

"Justeru, ia sudah pasti menjejaskan matlamat dan mampu menjadi liabiliti besar kepada gabungan parti itu," katanya.

Mohd Fadzil berkata, hanya dengan kaedah dan pendekatan baharu sahaja, seperti penubuhan satu parti berbilang kaum berupaya menjadi aset penting untuk meraih sokongan lebih kukuh rakyat kepada GPS.

"Dalam usaha merealisasikan hasrat itu, ia sudah pasti akan menjadi amat pahit dan terpaksa ditelan dengan rela.

"Jika maklum balas masyarakat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dijadikan kayu ukur, ada kewajaran tindakan radikal dan kurang popular dibuat pada kadar segera," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment