Antara memenangi PRU, mentadbir urus negara

Saturday, June 16, 2018

Antara memenangi PRU, mentadbir urus negara

Antara memenangi PRU, mentadbir urus negara

UMUM memperakui bahawa PRU14 satu episod amat bersejarah di dalam lipatan sejarah negara. Siapa di antara kita dapat menduga bahawa Pakatan Harapan akan meraih kejayaan begitu gemilang dan cemerlang sekali. Sedangkan ramai penganalisis politik dan badan kaji selidik tempatan serta luar negara begitu yakin sekali kemenangan berpihak kepada BN.

Namun rakyat bergerak senyap-senyap untuk bawa perubahan yang mereka idam-idamkan, setelah sekian lama melalui dan mengharungi pahit getir, tekanan dan penipuan di bawah kerajaan BN.

Bermula daripada zaman Tun Mahathir yang mula membuka ruang kepada kapitalisme dan kronisme serta korupsi untuk menular ke dalam sistem politik negara, disambung pula oleh Pak Lah yang asyik lena dalam tidur walaupun kemungkaran semakin membiak, sehinggalah kepada zaman Najib yang memporak-perandakan negara dengan berbagai kes korupsi dan skandal-skandal besar. Di bawah kepimpinan Najib, kemungkaran yang dilakukan merentasi segala batasan dan imaginasi kita semua. Dari juta menjadi berbilion. Sehingga ianya sudah menjadi perkara biasa.

Alah bisa tegal biasa!

Rakyat sudah lama naik jemu jelak dengan kepimpinan sedemikian yang mencabuli amanah dan harapan mereka. Tambah pula kos sara hidup makin melambung.

Gandingan Tun M-DSAI

Di tengah-tengah kemelut ini datang dan wujud pula gandingan berbisa di antara Tun M dan DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang menjanjikan satu kepemimpinan lebih baik untuk negara dan rakyat.

Maka 9 Mei 2018 menjadi tarikh keramat menyaksikan tumbangnya gergasi BN di tangan rakyat jelata. Rakyat yang selama ini menjadi bahan permainan kepada pemimpin-pemimpin politik. Samada mereka ditekan dan hukumkan atau dibeli dan disogok dengan dedak dan sebagainya. Selaras dengan prinsip dibangga-banggakan Najib bahawa 'Cash is King'. Akhirnya Cash King dan rejimnya tersungkur membaham tanah dalam sekelip mata dikerjakan rakyat jelata. Yang paling istimewanya ianya dicapai tanpa apa-apa pertumpahan darah sekalipun.

Kini Tun M dan Harapan sudah dinobat sebagai kerajaan baharu walaupun ada lagi unsur-unsur subversif yang cuba menghalang Tun M daripada diisytiharkan sebagai PM. Mula bergelora satu pertembungan serius berlaku antara raja dan pemimpin rakyat. Bila krisis perlembagaan di antara institusi raja dan rakyat berjaya dielakkan, rakyat mengatur syukur ke atas rahmatNya.  Akhirnya Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Agong menerima Tun M sebagai PM dan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Cabaran, tugas sukar

Semenjak Tun M dan Harapan mengambil alih tampuk kerajaan,  banyak perkembangan telah berlaku dengan pantas dan cepat sekali. Pasti ianya dipacu dan diilhamkan oleh Tun M sebagai nakhoda kepada bahtera Harapan. Untuk melaksanakan janji pilihanraya, di dalam tempoh 100 hari pertama dan seterusnya.

Saban hari ada saja pendedahan baru tentang kemungkaran dilakukan Najib atau rejimnya; pengumuman oleh kerajaan Harapan tentang langkah pembaharuan; peletakan jawatan oleh orang kanan Najib di dalam sektor awam mahupun swasta dan pergolakan politik di dalam Umno, BN dan juga Pas yang masing-masing kebingungan untuk mengatur langkah menyesuaikan diri di dalam senario baharu politik negara.

Sungguhpun begitu, terdapat banyak cabaran dan tugas sukar untuk dihadapi dan ditangani Tun M dan kerajaan Harapan. Memenangi pilihan raya umum mungkin amat getir. Tetapi mengurus negara mungkin lebih getir dan mencabar.

Tetapi untuk memerintah negara,  memerlukan kebijaksanaan, kesabaran dan kesungguhan yang lebih daripada melawan rejim yang korup. Bukan didorong oleh langkah populis. Dan sentiasa mengikut kehendak semasa rakyat. Sama ada di dalam hal-hal agama, bangsa, bahasa dan sebagainya. Kepentingan negara tidak selalunya selaras dan seiring dengan sentimen rakyat di bawah. Dengan lain-lain perkataan, kerajaan Harapan akan diuji dari segi ketegasan, kecekalan dan keberanian mereka untuk mengurus negara dengan sebaik mungkin.

Tun M harapan rakyat

Malaysia bernasib baik kerana kita ada Tun M yang walaupun sudah berusia 93 tahun tetapi mempunyai cukup pengalaman sebagai PM selama 23 tahun satu masa dulu.  Dan dengan sifatnya sebagai negarawan yang tegas, cekal dan bijaksana akan memberi jaminan bahawa kita mampu meraih kejayaan yang cemerlang.

Rakyat berharap agar Tun M akan mengubah atau memperbaiki kelompongan sistem politik dan pentadbiran negara. Tak kira sama ada ianya timbul kerana peruntukkan perlembagaan yang pincang atau amalan konvensyen yang lapuk dan sudah tidak sesuai lagi dengan tuntutan alaf baru. Termasuklah peranan monarki, kuasa-kuasa yang diberi kepada kerajaan negeri atau pihak berkuasa agama. Agar akhirnya akan terbentuk satu sistem politik dan tadbir urus negara yang bukan sahaja bersandarkan keluhuran undang-undang tetapi juga seiring dengan nilai dunia sejagat.

Lebih peka didik rakyat

Kerajaan perlu lebih peka untuk mendidik rakyat menjadi lebih bertanggungjawab sebagai warga negara dengan menghormati keluhuran undang-undang. Dan mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan peribadi, puak atau kabilah masing-masing.

Kebebasan bersuara yang baru diperolehi dan ruang diberi kerajaan kepada rakyat hendaklah digunakan dan diamalkan dengan penuh tanggungjawab dan berhati-hati oleh semua pihak. Kebebasan tanpa disiplin dan rasa tanggungjawab adalah resipi kepada kacau bilau, anarki dan akhirnya keruntuhan negara. Kerajaan dan rakyat mesti mencari titik-titik kesamaan di dalam hal ini agar dapat mewujudkan keseimbangan di antara hak dan tanggungjawab.

Pada masa yang sama, kerajaan hendaklah mengambil tindakan yang tegas berkaitan dengan ancaman sikap ekstremis dan keterlaluan  agama, bangsa dan fahaman politik yang makin menular kebelakangan ini. Yang ditimbulkan oleh parti tertentu yang mengguna agama sebagai alat dan bahan dagangan; NGO, pertubuhan sivil atau individu-individu tertentu. Kerajaan perlu kaji sama ada wajar atau tidak dibiarkan saja parti politik guna perkataan ‘Islam’ untuk nama parti politik mereka. Kerana ia mendedahkan sebahagian rakyat yang naif terpedaya dengan dakwaan  bahawa parti tersebut adalah Islam dan Islam adalah parti tersebut. Pemalsuan ini telah dibiarkan berlarutan terlalu lama.

Sudah sampai masanya untuk kita membina dan membentuk budaya berfikir secara kritis di dalam minda dan budaya pemikiran rakyat di mana kepercayaan dan amalan hendaklah berasaskan kepada akal, logik dan pemikiran yang rasional.

Berteraskan kepada kesederhanaan sebagai asas kepada kehidupan nasional kita.

Jangan khianati kepercayaan rakyat

Tidak kurang pentingnya untuk Tun M dan kerajaan Harapan menunjukkan kesungguhan untuk memastikan penyokong mereka dari bersikap berlebihan di dalam sokongan mereka kepada pemimpin-pemimpin idola masing-masing. Kita melihat terlampau banyak pihak mengambil kedudukan dan pandangan yang keras serta keterlaluan di dalam hal-hal politik.

Bukan sahaja ianya menjejaskan agenda perubahan tetapi mewujudkan ketegangan di antara satu pihak dengan pihak lain dalam kalangan parti komponen Harapan. Seolah-olah mereka mempunyai agenda jahat tersembunyi untuk melihat perbalahan sesama sendiri. Kadang-kadang ianya dilakukan seolah-olah dengan restu dan sokongan daripada pemimpin-pemimpin atasan.

Sekali gus membuat rakyat naik keliru dan bingung tentang tujuan dan matlamatnya. Perbalahan dalaman dengan permainan politik machivillean adalah sesuatu yang tidak mereka pinta. Budaya bodek dan mengampu berlebihan pemimpin atasan memualkan rakyat. Ianya bukan sebahagian daripada manifesto Harapan.

Rakyat meminta pemimpin atasan di dalam Harapan agar jangan menguji kesabaran dan ketahanan mereka. Hentikan budaya mengampu, membodek dan mengadu domba, yang merupakan amalan yang jijik dan keji. Rakyat mahu melihat kerajaan Harapan menepati manifesto mereka. Ianya satu sumpah setia di antara pemimpin dan rakyat. Termasuk mengekal dan mempertahankan gandingan Tun M dan DSAI sebagai kesinambungan kepimpinan.

Jangan sekali-kali mengkhianati amanah dan kepercayaan rakyat. Dan mengundang kemarahan rakyat sehingga rakyat terdesak untuk sekali lagi bangkit menentang kerajaan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment