'Nasi tu bos yang punya'

Saturday, June 2, 2018

'Nasi tu bos yang punya'

'Nasi tu bos yang punya'

SUNGAI PETANI â€" Seorang lelaki berusia 20-an memberi alasan membeli nasi bungkus untuk majikan ketika dicekup anggota penguatkuasa dalam Ops Ramadan di Sidam Kiri, Sungai Petani.

Penolong Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Syeikh Mohd Nazif Zakaria berkata, lelaki berkenaan dicekup selepas selesai membeli empat bungkus nasi berlauk dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari.

Menurutnya, ketika ditemui, lelaki berkenaan berada dalam sebuah premis yang didakwa menjadi tumpuan kaki ponteng puasa berikutan tindakan pemiliknya menyediakan berbagai jenis makanan sebelum jam tiga petang.

“Ketika diserbu, lelaki tu tidak sempat keluar sebab asyik membeli di dalam, bila kami tanya, dia kata nasi tersebut bos dia punya,” katanya.

Pelbagai jenis lauk disediakan khusus buat kaki ponteng puasa.

Menurutnya, operasi yang dijalankan secara bersepadu itu turut melibatkan beberapa agensi lain termasuk Majlis Perbandaran Sungai Petani, Cawangan Penyiasatan Khas, Pejabat Kesihatan Daerah, Pejabat Agama Daerah (PAD) Kuala Muda dan PAD Yan.

“Hasil pemeriksaan ke kedai terbabit mendapati beberapa juadah lain turut tersedia seperti ayam goreng kunyit, telur goreng mata, lauk berkuah seperti kurma, kari, masak kicap dan sup khususnya menjadi sasaran kaki ponteng puasa,” katanya.

Katanya, operasi yang diketuai Penguatkuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin itu bermula pada jam 10.00 pagi itu turut melibatkan beberapa lokasi panas lain antaranya Bedong, Gurun, Bukit Selambau, Sungai Lalang dan Sungai Petani.

Menurutnya, notis mengikut Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah  Syariah  Kedah 2014 telah dikeluarkan kerana tidak menghormati bulan Ramadan dan mana-mana individu terlibat diminta hadir ke pejabat agama untuk tindakan lanjut.

Jika sabit kesalahan, denda sebanyak RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua, boleh didenda sebanyak RM2,000 atau penjara tidak  melebihi  satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam operasi yang sama, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda mengeluarkan dua notis kompaun mengikut  Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana tidak mematuhi etika pemakaian yang betul seperti memakai apron dan penutup kepala.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment