'Mereka terus baham lori saya'

Saturday, June 2, 2018

'Mereka terus baham lori saya'

'Mereka terus baham lori saya'

MACHANG: "Beberapa kali saya bunyikan hon, tapi kereta yang dinaiki mereka masih tidak mengelak sebelum kami bertembung.

"Pertembungan itu menyebabkan lori saya terbabas ke penghadang jalan dan kereta itu berpusing, " kata pemandu lori, Nik Mat Sulaiman, 58 yang terbabit kemalangan dengan kereta Perodua Viva di Kilometer 43 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Simpang Kemuning di sini.

Kejadian jam 8.45 pagi itu menyebabkan dua penumpang kereta berkenaan maut manakala seorang lagi parah.

Mereka yang maut adalah penumpang hadapan yang juga pakar motivasi Eddie Mustakim Busu, 37 berasal dari Gomeng, Negeri Sembilan dan penumpang belakang, Nor Hasmini Ismail, 32, dari Tanah Merah.

Manakala pemandu, Zulhairi Salamat, 25, parah di kepala dan dirawat di Hospital Machang.

Nik Mat berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Jedok ke Kuala Krai membawa muatan batu.

"Ketika kereta mereka memasuki laluan saya, saya terus membunyikan hon namun mereka seperti tidak sedar dan terus 'baham' lori.


KENDERAAN yang dinaiki mangsa yang mengorbankan dua orang dalam kemalangan di Kilometer 43 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Simpang Kemuning jam 8.45 pagi. - Foto Ihsan Bomba

"Sebelum ini saya pernah terbabit kemalangan biasa namun kemalangan kali ini paling teruk dan tidak akan dilupakan. Saya ucapkan takziah pada keluarga mangsa," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, ibu saudara isteri arwah Eddie Mustakim, Azizah Mat Zin, 52, berkata dia mengetahui mengenai tragedi itu melalui isteri arwah, Munawwarah Ishak, 34.

Katanya, isteri arwah menghubunginya kira-kira jam 12 tengah hari memaklumkan suaminya meninggal dalam kemalangan.

"Isterinya dalam keadaan menangis menghubungi saya memaklumkan kejadian itu dan meminta bantuan untuk menguruskan mayat suaminya sementara dia dalam perjalanan pulang ke sini.

"Terkejut dengan berita itu saya terus bergegas dari Bachok ke Hospital Machang untuk membantu menguruskan arwah memandangkan hanya saya waris mangsa yang tinggal di sini," katanya.

Menurutnya, jenazah arwah akan dibawa pulang ke rumah ibu bapanya di Gemecheh, Negeri Sembilan malam ini.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan maut itu.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment