Tiada kebebasan berpakaian tidak senonoh

Tuesday, June 26, 2018

Tiada kebebasan berpakaian tidak senonoh

Tiada kebebasan berpakaian tidak senonoh

KUALA TERENGGANU â€" Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan kenyataan membenarkan pelancong berpakaian menjolok mata dengan sewenang-wenangnya di kawasan pelancongan di negeri ini.

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohamad Nor Hamzah berkata, beliau kesal kerana kenyataannya sebelum ini berkaitan etika pemakaian bagi pelancong telah diputar belit.

Jelasnya, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan membenarkan pemakaian bikini kepada pelancong asing sebagaimana disiarkan sebuah portal berita tempatan sebelum ini.

“Saya tidak pernah bercakap mengenai pakaian bikini, bila wartawan tanya saya, saya kata kerajaan sedia ada dah ada dasar pelancongan dan kita akan tambah baik serta laksanakan penguatkuasaan.

“Kita akan buat penambahbaikan bukan akan beri kebebasan sewenang-wenangnya kepada pelancong asing untuk berpakaian tidak senonoh. Saya kira apa yang tulis tidak selari dengan apa yang saya maksudkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Mohd Nor berkata, beliau berpendapat tajuk utama yang ditulis jelas bertujuan ingin memberikan imej buruk dan tidak terhadap kerajaan pimpinan Pas di negeri ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai cadangan MCA Terengganu agar papan tanda pakaian yang bersesuaian di kawasan pantai negeri didirikan bagi rujukan pengunjung bukan beragama Islam, katanya, pandangan semua pihak akan diteliti.

“Kita akan kaji dan teliti pandangan semua pihak namun tidak bermaksud ia akan dipersetujui sepenuhnya. Kita akan beri ruang kepada dialog dan perbincangan berkenaan perkara ini sebelum pelaksanaan dijalankan.

“Buat masa ini kita masih menunggu dasar pelancongan di bawah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri disiapkan terlebih dahulu.

“Jadi, kita harap semua pihak tidak memanipulasi atau membuat andaian melulu berhubung perkara ini kerana ia melibatkan isu yang sensitif,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita menyiarkan kenyataan bahawa kerajaan Terengganu tidak menghalang pelancong bukan beragama Islam dari dalam atau luar negara untuk melakukan aktiviti pelancongan, termasuk berbikini di kawasan pulau dan pantai negeri ini.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment