Tabung Harapan dan hutang negara
TIDAK sampai 24 jam sejak dilancarkan, Tabung Harapan Malaysia (THM) telah berjaya mengutip lebih RM7 juta. Selepas 10 hari, angka kutipan terus bertambah mencecah lebih RM50 juta.
Ada orang mempertikaikan kewajaran diwujudkan satu tabung khas untuk orang ramai membantu kerajaan mengurangkan hutang negara. Realitinya perkara ini bukan sesuatu yang pelik kerana di Amerika Syarikat (AS) sebagai contoh, kerajaan persekutuan negara Uncle Sam ini turut menerima sumbangan orang ramai untuk mengurangkan hutang negara.
Kutipan sumbangan diuruskan oleh Biro Perkhidmatan Fiskal di bawah seliaan Jabatan Perbendaharaan AS. Rakyat Amerika boleh menyalurkan sumbangan melalui bayaran atas talian menggunakan kad kredit, kad debit, PayPal dan lain-lain bentuk bayaran. Mereka juga boleh membayar melalui cek yang diposkan kepada biro ini.
Justeru, tidak ada apa salahnya untuk kerajaan menerima sumbangan rakyat mereka yang bersemangat patriotik untuk membantu mengurangkan hutang negara. Kewujudan tabung khas, THM juga dapat menyekat penipuan mereka yang mahu mengambil kesempatan kononnya mengumpul sumbangan orang ramai untuk disalurkan kepada kerajaan tetapi di sebaliknya mahu melesapkan wang yang dikumpul.
THM diwujudkan sebagai respons kepada pengumuman kerajaan yang mengejutkan setelah didedahkan bahawa hutang dan liabiliti negara berjumlah lebih RM1 trilion. Persoalan timbul tentang kewajaran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendedahkannya dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk memperincikan jumlah hutang dan liabiliti negara yang mencecah angka yang menakutkan.
Positifnya, perkara ini membuktikan kerajaan Malaysia di bawah Pakatan Harapan transparen dalam mendedahkan situasi sebenar kewangan negara di mana setakat 31 Disember 2017, hutang dan liabiliti ditanggung kerajaan Malaysia sudah mencecah RM1.087 trilion.
Ini merangkumi hutang rasmi kerajaan berjumlah RM686.8 bilion, komitmen untuk menjelaskan hutang yang dijamin kerajaan berjumlah RM199.1 bilion melibatkan hutang pelbagai syarikat berkaitan kerajaan termasuk 1MDB dan komitmen untuk bayaran pajakan berjumlah RM201.4 bilion untuk pelbagai projek perkongsian awam-swasta.
Negatifnya, perkara ini mewujudkan kebimbangan kepada pelabur tempatan dan luar negara tentang ketidaktentuan ekonomi Malaysia. Dengan hutang yang mencecah trilion ringgit, terdapat dalam kalangan para pelabur yang menjangkakan kerajaan terpaksa berjimat-cermat untuk mengurangkan perbelanjaan awam dengan pelbagai projek mega kerajaan sama ada dibatalkan atau ditangguhkan yang memberi kesan langsung kepada perkembangan ekonomi.
Sesetengah pelabur ini menjangkakan langkah penjimatan kerajaan untuk mengurangkan hutang akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi mengambil kira faktor perbelanjaan kerajaan terutamanya dalam aspek pembangunan yang dikurangkan sebagai salah satu komponen penting penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Kita menyambut baik usaha kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan untuk berterus-terang dalam perbelanjaan kerajaan tanpa menyembunyikan atau disorok-sorok perkara tertentu daripada makluman rakyat.
Kita tidak mahu lagi melihat apa yang terjadi sebelum ini berulang seperti kes wang rakyat digunakan untuk membayar hutang 1MDB tetapi disembunyikan seolah-olah syarikat itu sendiri yang menjelaskan segala hutang yang ditanggungnya.
Transparensi yang ditunjukkan kerajaan baharu sememangnya sangat dialu-alukan oleh rakyat. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan keyakinan pelabur yang sememangnya mahu melihat kerajaan menguruskan kewangan negara secara telus dengan tadbir urus yang baik berserta dengan dasar yang diterjemahkan dalam bentuk perancangan dan pelaksanaan yang mesra pelabur serta baik untuk perkembangan ekonomi.
Namun demikian, para pelabur perlu diyakinkan bahawa sebarang langkah penjimatan tidak dituruti langkah kerajaan mengurangkan secara drastik perbelanjaan pembangunan yang kita tahu penting dalam membawa limpahan manfaat kepada ekonomi dan rakyat.
Kerajaan perlu memberi isyarat kepada mereka bahawa dasar penjimatan untuk mengurangkan hutang negara dilakukan dengan perbelanjaan berhemah lagi efektif dalam mengurangkan perbelanjaan perkara-perkara yang tidak penting serta meningkatkan efisiensi kos operasi dan pengurusan.
Lebih penting daripada itu, kerajaan perlu memperlihatkan kredibiliti dan keupayaannya untuk mengurus, mengawal serta mengurangkan paras hutang dan liabiliti yang cukup tinggi ini.
Yang pasti, pengumuman mengejutkan hutang dan liabiliti negara berjumlah lebih RM1 trilion yang menjadi bualan rakyat Malaysia dan para pelabur turut menjadi perhatian agensi penarafan kredit utama seperti S&P, MoodyĆ¢s dan Fitch. Kita tidak tahu sama ada mereka akan menurunkan, menaikkan atau membiarkan penarafan kredit kekal tidak berubah dalam masa terdekat.
Apa pun perkembangan yang sedang berlaku, sama-sama kita berdoa agar paras hutang dan liabiliti negara yang tinggi ini dapat diturunkan hingga ke tahap yang terkawal.
Terima kasih dan syabas diucapkan kepada mereka yang telah menyumbang wang ringgit untuk membantu negara. Sumbangan datang daripada pelbagai pihak melibatkan orang awam, ahli politik, syarikat dan kerajaan negeri.
Menarik juga untuk diperhatikan selepas setahun berapa banyak jumlah kutipan yang bakal terkumpul.
Semoga proses menyelamatkan Malaysia berjalan dengan lancar dan sebagai rakyat Malaysia, kita berharap kerajaan berupaya menangani sebaiknya serta dapat menyelesaikan kemelut hutang dan liabiliti RM1 trilion yang ditinggalkan pentadbiran sebelumnya.
* Penulis ialah Penganalisis Kanan, Institut Darul Ridzuan (badan pemikir kerajaan negeri Perak)/ nadzri@idrperak.com
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment