Syahdu Syawal pasca PRU14
SECARA kebetulan dalam tempoh sebulan, kita menyambut dua raya besar. Mula-mula pilihan raya pada 9 Mei lalu. Dan esok tiba pula hari raya.
Kedua-dua raya ini dari segi konsep, semangat dan dan matlamatnya memang berbeza; yang satu lawan-lawan, yang satu lagi kawan-kawan.
Seperti diketahui setiap musim pilihan raya, tidak kira di mana, keadaan panas dan tegang. Almak-lumlah, sepanjang berkempen, semua pihak cenderung untuk saling serang-menyerang.
Di pentas kempen semua saling menyalahkan pihak lawan. Apa sahaja yang jelik-jelik mengenai seterunya akan didedahkan. Macam-lah tidak ada satu pun yang baik di pihak lawan.
Tidak kira parti, simbol dan warna, semua saling tuduh-menuduh. Baik calon, wakil calon dan penyokong, semua menghentam pihak lawan. Kurap, panau, kudis buta dan bisul semua didedahkan.
Fitnah berleluasa sepanjang musim kempen. Sama ada menerusi media biasa atau media sosial, pihak yang bertanding menyebarkan pelbagai fitnah, semuanya untuk memenangi hati pengundi.
Serangan reda setelah keputusan PRU14 diumumkan. Fitnah mengendur sebaik tsunami rakyat memutuskan kerajaan baru dipilih, dan kerajaan lama ditumbangkan.
Kini demam dan bahang pilihan raya sudah berlalu, kerajaan baru telah mengambil alih teraju.
Ketika dakwat PRU14 masih melekat di hujung jari, Raya Aidilfitri pula muncul.
Pada ketika perang mulut dan kata-kata tidak manis semasa kempen masih terngiang-ngiang di telinga, terdengar pula sayup dan mendayu-dayu gema takbir raya di subuh hari.
Dalam semangat Syawal, patut sekali semua pihak melupakan kegetiran semasa kempen, juga kepedihan setelah kecundang. Ini adalah bulan untuk kita bertaut kembali.
Baik yang menang mahu pun yang tewas, lupakan sengketa musim-musim pilihan raya. Bermaaf-maafanlah di hari raya.
Masing-masing patut berjiwa besar, saling memohon maaf dan menerima kemaafan.
Lagi pun kalah atau menang kita masih mempunyai peranan dan sumbangan untuk sama-sama membangun negara รข" sama ada sebagai kerajaan atau sebagai pembangkang. Sama-sama kita hulurkan tangan kemaafan...
Secara peribadi saya terasa perbezaan ketara antara raya tahun ini dengan tahun-tahun sebelumnya. Perbezaan itu memang ada kaitan dengan keputusan PRU baru lalu.
Sepanjang Ramadan terasa benar kelainan.
Tahun ini kementerian tidak berlumba-lumba mengadakan majlis iftar untuk media.
Biasanya seminggu sebelum ketibaan bulan al-Mubarak, banyak undangan berbuka puasa telah diterima dari pelbagai kementerian.
Tahun ini tidak ada jemputan rasmi iftar daripada pak menteri.
Saya mengandaikan dua sebab. Pertama, Kabinet baru beberapa hari dibentuk, mereka belum bersedia untuk jamuan-jamuan seperti itu.
Kedua, pentadbiran Pakatan Harapan melihat berebut-rebut beriftar setiap kementerian dan agensi kerajaan tidak sesuai dalam keadaan negara yang dibebani banyak hutang, lebih RM1 trilion.
Sebenarnya acara iftar seperti itu tidak perlu diteruskan.
Malah, tidak perlu juga diteruskan tradisi berjamu mega di rumah PM setiap kali raya yang dikunjungi beratus ribu rakyat.
Para menteri pun tidak perlu mengadakan rumah terbuka Aidilfitri.
Adalah lebih baik sekiranya menteri pula berkunjung raya dan menemui rakyat di kampung-kampung.
Duit rakyat tidak perlu dibazirkan dengan majlis iftar dan rumah terbuka.
Biar rakyat faham kita betul-betul perlu berjimat, dalam usaha melangsaikan hutang mega yang diwarisi dari kerajaan lalu.
Isteri-isteri para menteri pun janganlah menayangkan kemewahan sepanjang raya. Tidak perlu tunjukkan kerongsang dan intan berlian. Tidak perlu tayang beg tangan atau jam tangan RM ratusan ribu.
Sekiranya isteri menteri terlebih tayang pakaian dan aksesori-aksesori mewah itu, nanti ada pula persepsi bahawa yang mewah-mewah itu dibeli dari duit rasuah.
Hari raya atau hari biasa, kerajaan baru bukan sahaja perlu bersih, tetapi perlu dilihat bersih.
Tidak guna sekiranya rakyat diminta berjimat, sedangkan menteri dan keluarga mereka terus bermewah-mewah.
Di sebalik takbir raya yang mendayu-dayu, kesyahduan sebenar Aidilfitri adalah menerusi peningkatan ketakwaan, dan kesederhanaan dalam segala-galanya.
Semoga warga Malaysia baharu, tanpa mengira keturunan dan agama, menerima hakikat baharu, dan berjaya menyesuaikan jiwa dan raga dalam suasana baharu.
Akhir kalam, Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment