Rugi RM299,000 angkara sindiket Macau Scam

Sunday, June 17, 2018

Rugi RM299,000 angkara sindiket Macau Scam

Rugi RM299,000 angkara sindiket Macau Scam

SUBANG JAYA: Bimbang kerana dikatakan terbabit dengan sindiket pengedaran dadah di negara ini dan bakal dikenakan hukuman berat, seorang lelaki rugi RM299,000 diperdaya sindiket Macau Scam menyamar sebagai polis.

Mangsa dikenali sebagai Zen, rugi RM299,00 selepas diarah memindahkan semua wang dalam akaun simpanannya ke satu 'akaun selamat' bagi membolehkan siasatan terperinci sumber wang dimiliki dijalankan selain melihat jika sindiket dadah menggunakan akaun simpanannya bagi urusan menyimpan duit hasil jual beli dadah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari berkata, kejadian berlaku pada 9 Mei lalu apabila mangsa dihubungi suspek memperkenalkan diri sebagai Sarjan Ang yang memintanya hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dalam tempoh dua jam bagi diambil keterangan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa memaklumkan tidak terbabit dengan sindiket dadah seperti didakwa dan tidak dapat datang dalam tempoh diberikan sebelum suspek memintanya untuk bercakap dengan seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Inspektor Yong.

"Ketika bercakap dengan Inspektor Yong, mangsa diminta menyerahkan maklumat kewangan dalam setiap akaun perbankan dimiliki kononnya bagi membolehkan siasatan sumber kewangan dibuat.

"Selepas memberi maklumat serta jumlah wang dimiliki, mangsa kemudian dimaklumkan akan dihubungi semula bagi proses siasatan selanjutnya termasuk proses pemindahan wang yang akan diserahkan semula sebaik siasatan selesai," katanya ketika dihubungi, semalam.

Muhammad Azlin berkata, tujuh hari kemudian, mangsa dihubungi semula oleh Inspektor Yong yang memintanya untuk membuat pindahan wang ke empat nombor 'akaun selamat' diberikan.

"Mangsa diminta untuk memberi kerjasama sepenuhnya dan tidak mengganggu siasatan atau berdepan tindakan undang-undang kerana terbabit dengan sindiket dadah.

"Kerana khuatir, mangsa kemudian membuat pindahan wang secara berperingkat pada 15 Mei dan 18 Mei lalu ke empat nombor akaun diberikan suspek membabitkan jumlah keseluruhan RM299,000," katanya.

Menurut Muhammad Azlin, mangsa sedar ditipu apabila suspek tidak menghubunginya semula selepas beberapa hari membuat pindahan wang dan membuat laporan polis pada 23 Mei lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment