Lebaran hambar tanpa insan tersayang

Sunday, June 17, 2018

Lebaran hambar tanpa insan tersayang

Lebaran hambar tanpa insan tersayang

DUNGUN - Syawal kali ini hilang serinya bagi Rosdiana Mohamad, 42 dan anak-anak kerana insan tercinta tiada lagi disisi.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu bergelar ibu tunggal sekelip mata apabila suaminya, Azlim Mohd Nor lemas di laut ketika keluar mencari rezeki.

Kejadian malang yang berlaku kira-kira dua bulan lalu menyebabkan Rosdiana dan anak-anak hilang tempat bergantung.

Lebih tersentuh di sanubari seorang isteri apabila dia kini mengandung empat bulan dan nyawa kecil itu bagaikan menjadi pengganti kepada arwah suami yang sudah pergi.

Galas tugas besar

Rosdiana berkata, kehidupannya berubah sekelip mata apabila perlu mengambil alih semua tugas suami untuk menguruskan rumah tangga dan anak-anak.

Menurutnya, kedatangan syawal menggamit rasa yang sukar digambarkan kerana banyak kenangan manis dilalui bersama arwah.

 "Sewaktu kejadian, saya mengandung dua bulan dan dia memang sudah tahu tentang khabar gembira ini.

"Bagaimanapun, dia tidak sempat melihat anak yang bakal lahir.

Rosdiana menemani anak-anaknya membeli pakaian raya dibantu kakitangan Perkeso Dungun.

"Suami saya seorang nelayan dan walau dia meninggal di laut, saya tetap bersyukur kerana jasadnya selamat ditemui, " katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian pampasan Perkeso di Pejabat Perkeso Daerah Dungun  di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Perkeso Dungun, Nor Hafizah Aziz.

Persiapan raya ala kadar

Katanya, sambutan lebaran juga hambar memandangkan urusan persiapan hari raya selama ini banyak diuruskan arwah suaminya.

"Biasanya kami uruskan sama-sama persiapan raya termasuk membeli pakaian raya tetapi sekarang sudah berubah.

"Saya perlu kuat untuk tiga anak dan yang sulung kini berusia 16 tahun serta zuriat bakal lahir," katanya.

Jelasnya, bagi mengubat rindu, dia dan anak-anak tiap-tiap minggu menziarah pusara arwah suaminya itu.

 "Anak-anak mengerti yang ayah mereka sudah tiada dan memang dia tidak bertanya kerana bimbang menyinggung perasaan saya.

"Kami memang selalu ke pusaranya dan di pagi raya sudah tentu kami akan ke sana," katanya.

Syukur ada yang prihatin

Keluarga yang menetap di Gong Balai  Merchang, Marang itu melahirkan rasa syukur kerana beban yang ditanggung sedikit berkurang apabila menerima pencen penakat daripada Perkeso.

"Saya hanya seorang suri rumah dan hilang punca pendapatan apabila suami tiada.

"Kami hanya mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Syukur kerana kami layak menerima pencen penakat akibat kematian suami kerana lemas pada 8 April lalu.

"Sekurang-kurangnya pencen yang diterima dapat digunakan untuk menampung keperluan anak-anak dan baju raya kami juga disumbang oleh Perkeso," katanya.

Perasaan kehilangan insan tersayang sukar digambarkan tetapi wanita itu tetap tabah demi anak-anaknya.

"Saya tidak tahu nak gambarkan macam mana dan diharapkan anak yang dikandung selamat dilahirkan.

" Segalanya saya terima dengan redha walaupun Syawal kami tidak lagi meriah seperti sebelum ini, " katanya.

Keluarga berkenaan juga antara yang mendapat sumbangan menerusi program prihatin Perkeso Jom Raya 2018.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment