Op Selamat 13 IPD Jeli catat lapan kes kemalangan
JELI - Op Selamat 13 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli yang masuk hari kelima semalam mencatatkan sebanyak lapan kes kemalangan jalan raya berbanding 14 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar berkata, kelapan- lapan kes berkenaan adalah kemalangan melibatkan kerosakan kecil sahaja.
"Penurunan sebanyak enam kes berbanding tempoh sama tahun lalu. Kita harap bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik dapat atur gerak operasi terutama di kawasan- kawasan panas seperti Gemang dan Batu Melintang sehingga ke sempadan Kelantan.
"Kita juga akan ambil tindakan kepada pemandu yang ingkar terhadap peraturan ditetapkan," katanya kepada media ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa bersama petugas Op Selamat 13 di Simpang 3 Jeli, Lebuh Raya Timur Barat Jeli- Gerik di sini, semalam.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak akan mengadakan sekatan jalan raya bagi mengelak gangguan terhadap kelancaran perjalanan trafik.
"Bagaimanapun jika kesalahan dilakukan pengguna jalan raya itu jelas, kita terpaksa tahan sebagai pengajaran kepada mereka dan peringatan kepada yang lain. Contohnya jika melibatkan kesalahan memotong di garisan berkembar dan potong Q yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna lain," katanya.
Mohd Yusoff turut mengingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati dan mematuhi peraturan ditetapkan supaya perjalanan mereka lebih lancar dan dapat tiba dengan selamat ke destinasi.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, seramai tiga pegawai dan 14 anggota terlibat dalam operasi berkenaan yang bermula 8 Jun hingga 22 Jun ini.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff mengingatkan orang ramai yang ingin meninggalkan rumah sepanjang musim perayaan ini agar melaporkan kepada pihak polis supaya tindakan pemantauan dapat dilakukan di kawasan kediaman mereka dalam tempoh berkenaan.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment