Mampukah BN bangkit kembali?

Wednesday, June 13, 2018

Mampukah BN bangkit kembali?

Mampukah BN bangkit kembali?

SEJAK tarikh 9 Mei 2018, BN makin berpecah. Belum pun sempat sidang pertama Parlimen bermula, gelombang tinggalkan parti membadai BN. Terkini jumlah parti komponen dalam BN hanya tinggal empat.

Umpama tikus meninggalkan kapal yang karam, rakan komponennya kini satu demi satu meninggalkan BN, hanya dalam tempoh sebulan selepas PRU14.

Sebelumnya, BN mempunyai gabungan 13 parti komponen. Namun gabungan itu semakin mengecil dan terpecah, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Di Sabah, hanya Umno yang tinggal dalam BN setelah UPKO, LDP, PBS dan PBRS keluar BN. Manakala di Sarawak, PBB (parti kedua terbesar dalam BN), SUPP, PRS dan PDP turut bertindak keluar BN dengan membentuk Gabungan Parti Sarawak.

Mereka meninggalkan BN sama ada untuk bergabung dengan parti lawan, membina gabungan baharu dalam gagasan bersifat kenegerian ataupun kembali bersendirian dalam arena politik.

Sudah tentu persoalan yang bermain di fikiran kita semua sekarang ini ialah bolehkah BN bangkit kembali?. Kalau tidak pun barangkali mampukah BN menjadi pembangkang yang kuat dan efektif bagi mencabar kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan gabungannya di Parlimen kelak? Pada peringkat awal ini BN dilihat bakal berdepan cabaran yang amat sukar.

Mengapa sukar? Pertamanya, jumlah kerusi BN dalam Parlimen akan lebih kecil berbanding yang sepatutnya. Dengan hanya empat parti yang masih tinggal dalam BN di Parlimen, hanya Umno yang memiliki kekuatan secara jumlah (55 kerusi) sedangkan MCA (1), MIC (2) manakala Gerakan langsung tiada kerusi.

Hilangnya sejumlah kerusi BN menerusi parti komponennya dari Sabah dan Sarawak dalam Parlimen bakal menjadikan suara BN lemah, sehala dan tidak dinamik. Ini adalah kerana, hanya Umno saja yang bakal bersuara bagi pihak BN. Berbanding sebelumnya, suara BN diwakili oleh pelbagai pihak mewakili pelbagai kaum.

Harus diingat, inilah punca kekuatan BN suatu ketika dulu. Kebolehan BN untuk mendapatkan undi setiap kaum menerusi peranan efektif elit-elit setiap kaum yang mewakili parti masing-masing.

Menerusi jaminan itu, BN sentiasa cemerlang memperoleh majoriti mudah dalam setiap pilihan raya jauh meninggalkan parti lawan yang terkial-kial untuk memperoleh undi pelbagai kaum. Sebagai contoh Pas bagi undi orang Melayu liberal dan bukan Melayu dan DAP bagi undi bukan Melayu.

Dalam masa sama, formula kongsi kuasa intra-elit BN berjaya mengurangkan pergeseran dalaman dan menjadikan BN benar-benar berfungsi sebagai satu grand coalition berbilang kaum yang berjaya. Apabila hilangnya perkara ini, BN akan hilang tarikan sebagai parti mewakili berbilang kaum.

Dengan hanya Umno sahaja yang masih memegang sejumlah kerusi Parlimen buat BN, apakah jaminan bahawa BN masih boleh memikat undi seperti dahulu?

Kedua, cabaran terbesar bagi BN ialah Umno itu sendiri. Dominasi Umno yang begitu kuat dan tidak dipersoalkan oleh komponen yang lain kini bakal dinilai semula. Ketika ini, ramai yang menyalahkan Umno sebagai punca kekalahan BN. Malah, ada parti komponen yang mula mencadangkan Umno dibuang terus dari BN.

Kenyataan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yoong kelmarin telah mencadangkan agar BN perlu segera mengadakan mesyuarat majlis tertinggi bagi memutuskan agar Umno ‘diusir’ dari BN sudah cukup menggambarkan bagaimana Umno tidak lagi dianggap sebagai aset kepada BN.

Menganggap BN silap kerana membenarkan Umno menguasai kebanyakan jawatan tertinggi BN, ia menjadikan Umno angkuh, sombong dan dipalit politik wang.

Tatkala bakal menghadapi pemilihan hujung bulan ini, Umno masih tidak dilihat sebagai sebuah parti yang sepatutnya. Cakap-cakap belakang orang Umno sendiri tidak yakin bahawa pemilihan itu mampu memulihkan Umno dan keyakinan rakyat kepada Umno.

Dari calon presiden, timbalan presiden, naib presiden, pergerakan sayap dan ahli majlis tertinggi, tiada calon yang benar-benar diyakini, baik dalam kalangan ahli mahupun bukan ahli berkeupayaan untuk mengepalai Umno. Reformasi dan transformasi Umno pada mereka tidak akan berlaku selagi individu yang sama masih kekal memimpin Umno.

Alasannya, mereka itu tidak mampu mengikis persepsi buruk rakyat terhadap Umno. Label negatif seperti elitis, sombong, samseng, rasuah, kronisme, kleptokrat dan sebagainya amat sukar dibuang daripada dikaitkan dengan mana-mana tokoh dalam Umno.

Maka sebab itulah ramai yang mempersoalkan kerasionalan Umno yang masih mahu memilih dan mengekalkan mereka sebagai pucuk pimpinan. Lucunya, mereka turut meramalkan yang Umno akan senasib dengan parti Golkar di Indonesia, tak mampu bangun lagi selepas ditolak oleh rakyat akibat perbuatan pemimpin yang korup dan amalan rasuah berleluasa.

Mungkin terlalu awal untuk menentukan nasib BN. Bukan tidak ada sejarah parti politik yang sudah lama berkuasa, setelah jatuh ditolak rakyat lantas bangkit kembali selepas memperbaiki diri. Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun dan Parti Kongres Kebangsaan India (INC) di India antara contoh terbaik yang barangkali boleh diteladani BN.

Kelebihan pengalaman, sumber dan masa masih menyebelahi BN. Ketika ini PH masih belum menunjukkan bahawa mereka mampu membentuk satu grand coalition seperti mana BN sebagai pemerintah, satu unsur penting dalam amalan demokrasi permuafakatan di negara-negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, UiTM



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment