Kurangkan kebergantungan import benih sayuran

Tuesday, June 26, 2018

Kurangkan kebergantungan import benih sayuran

Kurangkan kebergantungan import benih sayuran

SEPANG - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani komited membangunkan teknologi ke arah mengurangkan kebergantungan industri pertanian terhadap import biji benih sayuran dari luar negara.

Menterinya Salahuddin Ayub berkata satu perbincangan khusus bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) serta beberapa jabatan berkaitan akan diadakan segera bagi mencari jalan bagaimana kebergantungan sehingga 90 peratus kepada benih import itu dapat dikurangkan  bagi  meningkatkan keupayaan industri pertanian tempatan serta pekebun sayur.

Beliau berkata pemerkasaan industri benih tempatan berupaya membantu petani memperoleh benih yang lebih murah dengan kualitinya juga setaraf yang diimport sekali gus mendorong mengurangkan faktor yang menjadi antara sebab peningkatan harga makanan.

“Isu benih dan keupayaan menghasilkan hanya 10 peratus daripada keperluan biji benih didapati menjadi antara halangan pengembangan sektor pertanian sayur yang memerlukan tumpuan segera kementerian.

Dengan kepakaran MARDI dan disokong beberapa jabatan lain, kita yakin usaha menghasilkan benih sendiri boleh dilakukan walaupun memakan sedikit masa,” katanya pada sidang media selepas melawat dan mengadakan dialog dengan pengusaha projek usahawan tani Bukit Damar, Dengkil di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Pertanian Datuk Jamal Harizan Yang Razali.

Salahuddin berkata keupayaan dalam aspek teknologi merupakan antara sebab kebergantungan negara kepada import biji benih sedangkan keupayaan tempatan hanya terhad kepada penghasilan benih sayur seperti timun, kacang panjang dan kacang buncis.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata Jabatan Pertanian juga perlu menyediakan lebih banyak kursus bagi melengkapkan kumpulan petani dengan kemahiran pertanian moden seiring perkembangan semasa sektor tersebut.

Beliau berkata modul latihan kepada petani boleh mengambil pendekatan yang dilaksanakan oleh negara seperti Taiwan, Jepun dan Thailand yang nyata lebih terkedepan dalam penggunaan teknologi untuk membangun dan memajukan sektor pertanian.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata cadangan Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) supaya pemberian subsidi kepada industri padi dikembangkan kepada tanaman lain yang boleh mendatangkan pulangan tinggi kepada pesawah atau petani adalah lebih kepada usaha untuk meningkatkan pendapatan isi rumah para pesawah, bukannya mengurangkan pemberian subsidi.

Beliau berkata cadangan itu dikemukakan selepas MPK mendapati pendapatan isi rumah pesawah tidak meningkat walaupun pemberian subsidi yang tinggi diberikan kerajaan selama ini.

“Saya harap para petani tidak keliru dan terpedaya kononnya kita hendak kurangkan subsidi. Sebenarnya, cadangan itu lebih kepada bagaimana untuk mempelbagaikan penggunaan subsidi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah pesawah,” katanya. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment