Ku Li wajar diangkat sebagai Presiden UMNO
SHAH ALAM: Perwakilan UMNO di seluruh negara wajar mempertimbangkan cadangan untuk mengangkat Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Presiden UMNO pada Pemilihan Agung parti nanti.
Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata Ahli Parlimen Gua Musang itu dilihat calon terbaik untuk mengembalikan kekuatan serta semangat ahli UMNO selepas mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
"Kalau tanya saya wajarkah Ku Li (Tengku Razaleigh) bertanding jawatan Presiden? Saya akan kata ya. Ku Li mempunyai kemampuan serta rekod pentadbiran yang baik untuk menerajui UMNO, selain seorang tokoh yang dihormati kawan serta lawan.
"Jika ada pertandingan jawatan Presiden, saya harap perwakilan memberi sokongan (kepada Ku Li). Apapun, ia terserah kepada kebijaksanaan perwakilan untuk membuat pilihan," katanya kepada NSTP di sini, hari ini.
Muhammad bagaimanapun menafikan UMNO ketandusan calon pelapis apabila mencadangkan Tengku Razaleigh sebagai Presiden parti, sebaliknya beliau menyifatkan bekas Menteri Kewangan itu sebagai calon terbaik untuk menstabilkan 'kapal' selepas dibadai tsunami.
"Mungkin Ku Li boleh memimpin UMNO buat sementara waktu sebelum melepaskannya kepada pemimpin lain apabila keadaan kembali baik. Tidak timbul isu UMNO ketandusan pemimpin kerana jika dilihat parti lain pun turut mengangkat pemimpin sama sejak dahulu lagi," katanya.
Tengku Razaleigh, 81, ialah wakil rakyat paling lama selepas berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada PRU-14.
Beliau mempertahankan kerusi yang dimenangi pada 1974, ketika itu dikenali sebagai Ulu Kelantan.
Beliau dilantik menjadi Menteri Kewangan oleh Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn, pada 1976 selepas kematian Tun Abdul Razak, selain pernah menyandang jawatan Menteri Perdagangan dan Perusahaan.
Pada 1978, Tengku Razaleigh dilantik sebagai Pengerusi Bank Pembangunan Islam.
Selain itu, Tengku Razaleigh turut dilantik menjadi pengerusi Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa pada 1977.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment