'Habuan' kerana lindungi pusat judi
KUALA LUMPUR: Dua pegawai polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin, dipercayai menerima rasuah bagi melindungi pusat judi.
Sumber berkata, wang tunai yang dirampas daripada dua pegawai yang bertugas di bahagian Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman itu berjumlah RM1.5 juta.
"Mereka direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Akta Pencegahan Rasuah 2009," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tetapi enggan mengulas lanjut.
Kelmarin, dua pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner dan Asisten Superintendan ditahan SPRM di sebuah bengkel kereta di Subang Jaya yang membawa kepada penemuan sejumlah wang tunai.
Dalam kes berasingan, SPRM menahan seorang anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, berhubung kes rasuah berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Sumber SPRM berkata, anggota polis terbabit ditahan di sebuah restoran di Selayang kira-kira jam 11.50 malam Khamis lalu.
Suspek dikaitkan dengan satu laporan polis berhubung siasatannya mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada dokumen perjalanan yang sah.
"Wang tunai berjumlah RM4,500 dirampas ketika tangkapan dibuat," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Ruslan Che Amad ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Beliau berkata anggota itu direman bermula semalam hingga lusa.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment