Kerajaan Negeri Johor struktur semula jawatan ketua kampung

Saturday, June 2, 2018

Kerajaan Negeri Johor struktur semula jawatan ketua kampung

Kerajaan Negeri Johor struktur semula jawatan ketua kampung

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri mahu melaksanakan penstrukturan semula membabitkan jawatan ketua kampung di seluruh negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, langkah berkenaan bertujuan mencari ketua kampung yang berkebolehan dan berintegriti.

Menurutnya, keputusan menamatkan jawatan berkenaan yang melibatkan seramai 1,700 orang itu juga bukan bermotif politik.

"Mereka yang ditamatkan perkhidmatan khususnya jawatan ketua kampung jika berkelayakan dan mempunyai integriti boleh memohon semula jawatan berkenaan.

"Ini kerana mereka akan dinilai semula melalui panel tertentu termasuk Pegawai Daerah serta panel yang lain dan bukannya saya.

"Kita tengok kalau benda baik, orang baik, buat apa kita bazirkan. Dia boleh mohon dan kita boleh ambil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan oleh pembangkang sebelum ini yang menuduh kerajaan negeri bertindak kejam dengan menamatkan kontrak 1,700 ketua kampung.

Terdahulu, Adun Kempas itu menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan di Masjid As Solehin, di sini, hari ini.

Hadir sama; Menteri Asas Tani merangkap Ahli Parlimen Pulai, Salahuddin Ayub.

Sebanyak 200 tong berisi barang-barang makanan disampaikan kepada wakil penduduk.

Sumbangan kerajaan negeri itu melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

Osman berkata, setiap ketua kampung itu juga masih menerima elaun RM1,000 seorang sehingga lantikan ketua kampung yang baharu.

"Jadi, tiada isu menyatakan soal kekejaman berlaku pada kerajaan yang ada ini. Janganlah menuduh sebarangan untuk menimbulkan kemarahan rakyat" katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment