Jimat pitis belanja di pasar tani

Monday, June 11, 2018

Jimat pitis belanja di pasar tani

Jimat pitis belanja di pasar tani

KUALA BERANG - Enam pasar Tani seluruh negeri ini dipilih sebagai lokasi Program Jimat Belanja Aidilfitri@Pasar Tani bagi memberikan penjimatan perbelanjaan kepada rakyat di Terengganu menjelang kedatangan Syawal, Jumaat ini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu, Mohd Zaimi A Razak berkata, para pengunjung akan dapat harga penjimatan 5 hingga 20 peratus (%) lebih murah daripada pasar awam bagi barangan terpilih.

"Program ini dilaksanakan di pasar tani seluruh negara bagi membantu pengguna dapatkan bahan mentah sempena Aidilfitri dengan harga murah. Bagi peringkat negeri Terengganu, enam pasar tani telah dipilih.

"Lokasinya ialah di Pasar Tani Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah, Dungun (9 Jun); Pasar Tani Kuala Berang, Hulu Terengganu (11Jun); dan empat lagi akan diadakan pada 14 Jun ini iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Pasar tani berkenaan ialah di Pasar Tani Chukai dan Pasar Tani Kerteh di Kemaman; Pasar Tani Padang Hiliran, Kuala Terengganu serta Pasar Tani Jerteh, Besut," katanya di sini, semalam.

Terdahulu, Mohd Zaimi mengiringi Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Zainal Abidin Mohamed menyempurnakan gimik Majlis Pelancaran Program Jimat Belanja Aidilfitri@ Pasar Tani Peringkat Negeri Terengganu.

Pada program berkenaan juga turut diadakan agihan percuma kuih tradisional unik iaitu ketupat periuk kera kepada pengunjung bertuah, lawatan ke gerai Usahawan Tani serta demostrasi buat kuih akok.

Tambah beliau, antara barangan My Best Buy (MBB) yang menjanjikan penjimatan kepada pengunjung ialah jualan kombo barang kawalan dengan harga RM10 iaitu bagi dua peket minyak masak satu kilogram(kg) dan dua paket gula satu kg.

"Orang ramai akan dapat penjimatan sebanyak RM0.90 bagi barangan tersebut. Selain itu,  jualan ayam super dengan penjimatan RM1( terhad bagi 100 ekor pertama).

"Selain itu, jualan terus dari kilang bagi cili merah kulai RM8 sekg (jimat RM 2) dan melon manis Terengganu, RM5 sebiji bagi gred satu iaitu penjimatan sebanyak RM3. Harga sememangnya rendah serta menjimatkan.

"Orang ramai bolehlah beralih ke pasar-pasar tani yang terlibat bagi mendapatkan barangan sebagai persediaan sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelma Jumaat ini," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zaimi turut berharap agar masyarakat selaku pengguna dapat buat perbandingan harga di beberapa tempat kerana ia antara salah satu tanggungjawab sebagai seorang pengguna.

Katanya, sikap tidak kisah antara faktor yang mendorong harga sewenang-wenangnya di tawarkan di tempat lain dan dalam konteks atasi senario itu pengguna perlu mainkan peranan secara lebih meluas.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment