Gabungan dua generasi formula terbaik pulih Umno

Tuesday, June 26, 2018

Gabungan dua generasi formula terbaik pulih Umno

Gabungan dua generasi formula terbaik pulih Umno

KUANTAN - Pengalaman orang lama dan idea pemimpin muda merupakan kombinasi terbaik dalam usaha pembaharuan dan pemulihan Umno  pasca PRU14 ini.

Calon Ahli Majlis Tertinggi  Umno, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, gabungan barisan pemimpin dua generasi itu formula terbaik untuk memastikan Umno  kembali bangkit dan membina semula keyakinan rakyat.

Menurut   bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia ini, sekiranya  orang muda sahaja dipilih untuk memimpin Umno atas alasan  meremajakan parti dan menarik sokongan generasi muda, kepincangan akan berlaku  disebabkan kurangnya pengalaman kepimpinan.

"Sebaliknya jika orang lama sahaja diangkat sebagai  pemimpin Umno, itu juga kurang wajar kerana percambahan idea baharu demi kebaikan parti mungkin kurang.

"Malah Umno hanya akan dilihat masih berada pada takuk lama jadi kolaborasi pemimpin lama yang berpengalaman dengan tenaga muda yang idealis dan bersemangat waja perlu untuk membarisi barisan Majlis Tertinggi (MT)," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Maran itu berkata, kekuatan MT bagi sesi 2018-2021  perlu diperkasakan sebagai platform penasihat berkualiti kepada pucuk pimpinan utama termasuk presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden Umno.

"Kemantapan barisan MT Umno yang baharu ini akan menjadi pemangkin kepada kebangkitan parti selepas kekalahan pada PRU14 lalu.

"Barisan MT Umno kali ini perlu memastikan mereka mampu menjadi penasihat dan juga kumpulan sokongan yang mantap, berwibawa dan berkualiti kepada pucuk tertinggi pimpinan Umno,"katanya.

Ismail berkata, MT dipilih  perlu memberikan pandangan terbaik dan tidak lagi sekadar mengikut arus sahaja.

Mengulas  keputusan beliau bertanding kerusi MT pada pemilihan kali ini, Ismail yang juga Ketua Umno Bahagian Maran berkata, matlamatnya untuk terus membawa suara rakyat ke peringkat teratas seperti dalam Dewan Rakyat.

Katanya,  dengan kedudukan sebagai ahli MT (sekiranya dipilih) dan Ahli Parlimen Umno, beliau mempunyai platform luas untuk memperjuangkan nasib rakyat.

"Sebagai ahli Parlimen saya boleh membahas dan menyokong isu-isu rakyat yang dibincangkan dalam parti di Dewan Rakyat sekiranya diberi kepercayaan untuk menganggotai MT.

"Dengan cara ini keberkesanan sebagai  barisan pembangkang dalam Dewan Rakyat akan lebih baik dan berkualiti," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment