Aisya dijangka pulang dalam masa terdekat

Monday, June 11, 2018

Aisya dijangka pulang dalam masa terdekat

Aisya dijangka pulang dalam masa terdekat

MUAR - Selepas beberapa hari dirawat di wad kanak-kanak Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, bayi berusia 17 bulan yang dilaporkan diculik pada 7 Jun lalu dijangka dibenarkan pulang dalam masa terdekat.

Perkara itu disahkan sendiri ibunya, Siti Noorfadila Yusofe, 30, ketika dihubungi Sinar Harian sebentar tadi.

Menurut Noorfadila, puteri bongsunya, Siti Aisyah Hasmizan kini dilaporkan semakin stabil selain trauma yang dialaminya juga berkurangan.

“Syukur sebab sekarang Aisya dah tak ada rasa takut-takut atau menangis bila ada orang menghampirinya. Cuma sampai sekarang setiap kali bangun tidur awal pagi, dia mesti nangis namun tak berlarutan.

“Mungkin masih terperanjat, tetapi bila kita pujuk perlahan-lahan dia akan tenang,” katanya.

Selain itu menurutnya, luka di wajah dan tubuh Aisya juga semakin pulih dan kering.

“Kalau sebelum ni kesan gigitan serangga buat wajahnya luka dan berair. Tapi Alhamdulillah ia dah mulai kering, cuma bahagian anggota pelipat sahaja masih belum sembuh.

“Selera makan pun dah tiada masalah. Doktor cakap kalau semuanya berjalan lancar mungkin Aisya boleh pulang hari ini atau esok. Tetapi yang pasti sebelum raya, kami sekeluarga dah dapat berkumpul bersama,” katanya teruja.

Dalam pada itu, Noorfadila turut memohon segelintir netizen untuk tidak membuat pelbagai spekulasi berikutan kes ini masih dalam siasatan polis.

“Saya harap mereka dapat hormati dengan tidak membuat pelbagai andaian kerana kami sekeluarga masih tidak tahu motif si pelaku. Kami hormat siasatan polis yang masih dijalankan dan memohon orang ramai juga untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa,” katanya.
 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment