AirAsia X tingkatkan kekerapan ke Honolulu

Saturday, June 2, 2018

AirAsia X tingkatkan kekerapan ke Honolulu

AirAsia X tingkatkan kekerapan ke Honolulu

AIRASIA X kini bersedia untuk meningkatkan kekerapan daripada empat ke tujuh penerbangan seminggu ke Honolulu, Hawaii, dari Kuala Lumpur melalui Osaka, Jepun, bermula 16 Ogos 2018.

Ia berikutan permintaan yang tinggi dari Asia Tenggara, dengan promosi terkini syarikat penerbangan itu bermula hanya dari RM700 sehala termasuk cukai.

Ketua Komersial Kumpulan AirAsia X, Barry Klipp, dalam satu kenyataan berkata, Honolulu, ibu negeri yang terletak di pulau paling ramai penduduk di Hawaii, O’ahu, adalah bandar moden yang menawarkan daya tarikan pulau, termasuk Pantai Waikiki yang terkenal di dunia, yang pernah menjadi lokasi rumah percutian raja dan permaisuri Hawaii.

“Kemasukan pertama kali kami ke Honolulu tahun lalu, yang menawarkan tambang murah menakjubkan merangsang permintaan dan mendorong permintaan yang luar biasa dari rantau Asia Tenggara.

“Dalam masa kurang dari setahun, pasaran berkenaan berkembang dengan pesat dan kami bersedia untuk menawarkan penerbangan harian dari Kuala Lumpur ke Honolulu untuk memenuhi permintaan yang meningkat dan mengalu-alukan pelancongan dari kedua-dua rantau,” katanya.

Jelasnya, penumpang boleh mendapatkan jualan tambang terhad ini ke Honolulu dari 28 Mei, 2018 sehingga 3 Jun, 2018, untuk tempoh penerbangan bermula 18 Ogos 2018 sehingga 13 Ogos 2019, di airasia.com.

Penumpang juga boleh menggunakan perkhidmatan AirAsia’s Fly-Thru untuk sambungan yang lancar dari bandar lain dalam rangkaian penerbangan AirAsia and AirAsia X dengan hanya satu hentian tambahan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment