UMS, PERHEBAT kerjasama bantu veteran tentera

Monday, February 26, 2018

UMS, PERHEBAT kerjasama bantu veteran tentera

UMS, PERHEBAT kerjasama bantu veteran tentera

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi universiti awam (UA) pertama di negara ini menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) bagi memberi latihan kepada veteran dan bakal pesara tentera.

Menerusi kerjasama itu, veteran dan bakal pesara tentera dapat mereka menimba ilmu dan kemahiran baharu bagi menjana ekonomi mereka.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata kerajaan negeri menghargai kerjasama UMS dan PERHEBAT dalam membantu meningkatkan ekonomi pesara tentera di negeri ini.

Katanya, penyediaan latihan dan kemahiran tambahan bagi membantu anggota tentera yang bersara setiap tahun, membolehkan mereka meneruskan kesinambungan hidup dan meningkatkan taraf ekonomi diri dan keluarga.

"Usaha UMS melakukan kerjasama (dengan PERHEBAT) memberi peluang kepada veteran dan bakal pesara untuk menyertai dan mempelajari bidang seperti pertanian akuakultur dan memasak.

"Ini adalah antara cara supaya mereka mendapat pekerjaan atau menjadi pengusaha dalam sektor pertanian serta mengusahakan ternakan selepas bersara nanti.

"Kita amat hargai jasa mereka (veteran) ketika menjaga keselamatan negara dan apabila bersara, kita memberi latihan dan ilmu untuk menambah kepakaran masing-masing," katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kampus Satelit PERHEBAT-UMS di Dewan Resital UMS, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin dan Pengerusi PERHEBAT, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Aziz Ibrahim.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, setakat ini seramai 400,000 pesara berdaftar dengan PERHEBAT dan 130,000 daripadanya adalah yang berpencen, manakala di Sabah, ada 15,000 alumni dan hanya satu pertiga atau kira-kira 4,000 sahaja daripada mereka yang berpencen.

"Setakat ini, seramai 50 veteran dan pesara tentera sudah menyertai program bersama UMS dan saya harap ia dapat diperluas dan diteruskan bagi membantu lebih ramai veteran dan pesara tentera di Sabah.

"Selain itu, kita akan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi membantu veteran di negeri ini," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment