TPM turun padang

BAGAN DATUK: Roti sardin, nasi lemak, mi goreng dan teh tarik dihidangkan oleh Mohd Kamal Idris kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang singgah di warungnya di Hutan Melintang di sini, untuk bersarapan.
Timbalan Perdana Menteri tiba di Warong Kopi Atan Deris di tepi jeti Hutan Melintang di tebing Sungai Perak, itu kira-kira jam 9.30 pagi, sebelum beramah mesra dengan kira-kira 100 penduduk setempat yang berada di situ.
Ahmad Zahid kemudian merasmikan sebuah chalet dikenali sebagai Chalet Tok Cardeen bersebelahan warung berkenaan, sebelum meninjau keadaan jeti dan pondok nelayan di situ.
Bercakap kepada penduduk, Ahmad Zahid berkata jeti dan pondok berkenaan akan dinaik taraf tidak lama lagi.
"Kerajaan bersetuju dengan permohonan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk menaik taraf jeti ini dengan peruntukan RM600,000," katanya sebelum beredar kira-kira 30 minit kemudian.
Mohd Kamal, 42, teruja apabila diberitahu oleh ketua kampung Hutan Melintang mengenai kunjungan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tiga hari lalu.
"Saya teruja mendapat tahu kehadiran Datuk Seri Zahid ke sini kerana beliau pernah datang kira-kira 10 tahun lalu," katanya yang mewarisi warung berkenaan daripada bapanya, Idris Rahim, 64.
Sementara itu, abang kepada pemilik Chalet Tok Cardeen, Hashim Saadin, 50, berkata adiknya, Durahim, membuka chalet dua bilik itu kira-kira dua tahun lalu.
Katanya, chalet itu sering disewa 'kaki pancing' dan ahli keluarga yang pulang ke kampung terutama ketika cuti umum, hujung minggu dan cuti persekolahan.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment