Sanggup berhenti sekolah untuk sara lima adik

Friday, February 2, 2018

Sanggup berhenti sekolah untuk sara lima adik

Sanggup berhenti sekolah untuk sara lima adik

KOTA BHARU - Kesempitan hidup yang dilalui keluarganya, mendorong seorang remaja, Mohamad Amir Azrail Abdul Hamid, 17, terpaksa berhenti sekolah dan nekad bekerja demi menyara lima adik beradiknya yang masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan di Kampung Kubang Siput, Pasir Tumboh di sini.

Mohamad Amir berkata, dia yang berhenti sekolah ketika di tingkatan satu terpaksa mencari kerja bagi meneruskan kelangsungan hidup ekoran bapanya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan memperoleh pendapatan tidak seberapa.

“Sepanjang tiga tahun bekerja sebagai buruh binaan, saya memperoleh pendapatan yang cukup-cukup makan. Kadangkala adik-adik yang pergi sekolah terpaksa berbekalkan air sejuk saja tanpa makanan.

“Walaupun bekerja, tapi saya hanya memperoleh pendapatan RM50 sehari dan dan RM 250 seminggu terpulang pada pekerjaan yang saya lakukan,” katanya.

Menurut Mohd Amir, rutin hariannya turut membantu ibunya menghantar adik beradiknya ke sekolah sebelum ke tempat kerja dengan menunggang motosikal buruk miliknya.

Adik beradiknya, Norshahzalani Shasha,16, Norshafikah Shamimi, 14 , Mohd Azri Arfan, 10, Nor Saza Sazawana, 4, kesemuanya masih bersekolah dan hanya adik bongsu Mohamad Daniel, setahun yang tidak bersekolah dan tinggal di rumah bersama ibunya.

“Saya terkilan... sebab ada masa, adik-adik terpaksa berlapar hingga petang sebab tak cukup belanja. Mereka hanya akan makan lepas balik dari Kelas Fardu Ain (Kafa) dan sanggup menahan lapar,” katanya.

“Memang saya bekerja, tapi perbelajaan harian tidak cukup kerana adik beradik saya ramai. Ada masa, kami terpaksa mengikat perut dan makan nasi dengan apa saja lauk yang ada termasuk belaukkan kicap atau budu, mereka sanggup asalkan dapat mengalas perut,” katanya.

Sementara itu, ibu Mohd Amir, Suriani Mohamad, 39 berkata, suaminya, Abdul Hamid Salleh, 43, kini menetap di kediaman ibu mentua di Gua Musang dan sedang berusaha mendapatkan pekerjaan lain.

“Buat masa ini suami, terpaksa tinggal di Gua Musang bersama ibunya kerana tidak mempunyai kerja tetap,” katanya.

“Apa yang diharapkan agar kehidupan kami sekeluarga selepas ini lebih baik dan mendapat perhatian pihak berkenaan, lagipun saya kini hanya bergantung sepenuhnya kepada anak sulung yang kini menjadi harapan dan tunjang kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu Pentadbir Mukim Dun Pasir Tumboh, Wan Azizi Abdul Ghani berkata, pihaknya akan mengusulkan hal berkaitan keluarga itu kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan turut akan merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM) atau Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk mendapat bantuan bulanan susulan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment