KBS hadiahkan pusat latihan skuasy baharu kepada Kedah

Saturday, February 3, 2018

KBS hadiahkan pusat latihan skuasy baharu kepada Kedah

KBS hadiahkan pusat latihan skuasy baharu kepada Kedah

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengiktiraf kejayaan atlet skuasy Kedah dengan menghadiahkan Pusat Latihan Skuasy negeri Kedah yang baharu dan bakal siap menjelang awal 2019.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata pusat latihan yang melibatkan kos RM7.6 juta itu diharap dapat membantu pembangunan sukan skuasy negeri dan negara.

Pusat latihan itu bakal dilengkapkan dengan lapan gelanggang latihan dan pertandingan berhawa dingin, ruang pejabat, bilik media, bilik persalinan, tandas dan tempat letak kereta.

"Walaupun kita telah lama merancang membina pusat latihan ini tetapi boleh saya katakan ia merupakan hadiah dan pengiktirafan daripada KBS buat empat atlet dari Kedah yang berjaya memenangi Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Britain 2018 baru-baru ini.

"Apabila pusat latihan ini siap nanti tentunya program pencarian bakat baharu serta pembangunan sukan skuasy dapat dijalankan secara maksimum kerana kita ingin lahirkan lebih ramai atlet skuasy," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pusat Latihan Skuasy Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti di sini.

Khairy berkata dia juga berharap lebih ramai pemain remaja seperti Datuk Nicole David dapat dilahirkan dan mampu mengikut jejak kejayaan yang telah dilakar oleh lagenda skuasy negara itu.

"Sukan skuasy ini semakin mendapat perhatian dan pemain-pemain negara kita pun handal seperti negara lain cuma kita ketinggalan dari segi pembangunan jadi dengan adanya pusat latihan baharu ini ia dapat melahirkan pemain skuasy yang bertaraf antarabangsa," katanya.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata setiap tahun hampir 200 permohonan atlet baharu diterima namun hanya sebahagian sahaja yang diterima berikutan kekangan tempat yang terhad.

"Pusat latihan lama di Kompleks Hijau Kuning tidak mampu menempatkan semua atlet jadi dengan terbinanya pusat latihan baharu ini jumlah pengambilan atlet pelapis negeri boleh dibuat antara 100 hingga 120 orang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy meminta penyokong Lang Merah tidak emosi dengan cadangan pembinaan stadium baharu bagi menggantikan Stadium Darul Aman kerana ia adalah untuk memberi keselesaan kepada para penyokong. รข€"Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment