Kadar kematian masih tinggi

Monday, February 26, 2018

Kadar kematian masih tinggi

Kadar kematian masih tinggi

TABUNG Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dalam laporan terbaharunya minggu lalu berkata, kira-kira 2.6 juta bayi di seluruh dunia mati setiap tahun.

Laporan setebal 44 muka surat itu memperincikan bahawa setiap satu juta daripada bayi tersebut tidak dapat bertahan dalam bulan pertama usia mereka.

Risiko kematian bayi baru lahir juga bergantung di mana tempat mereka lahir.

"Seorang bayi yang dilahirkan di Pakistan, negara dengan kadar kematian bayi paling tinggi, menghadapi satu daripada 22 peluang kematian, manakala seorang bayi baru lahir di Jepun hanya mempunyai satu daripada 1,111 risiko kematian," kata pengarah eksekutif Unicef, Henrietta Fore.

Kematian boleh dicegah

Tambah Fore, lebih daripada 80 peratus kematian baru lahir boleh dicegah dengan akses kepada bidan terlatih, bersama-sama dengan penyelesaian lain seperti kemudahan air bersih, pembasmian kuman, penyusuan dalam jam pertama, sentuhan kulit ke kulit dan nutrisi yang baik.

"Tetapi kekurangan pekerja kesihatan dan bidan kesihatan yang terlatih adalah masalah utama di negara-negara miskin.

"Walaupun negara kaya seperti Norway mempunyai 18 doktor, jururawat dan bidan untuk setiap 10,000 orang, Somalia yang miskin hanya mempunyai satu," katanya.

Bagaimanapun katanya, antara negara yang telah membuat peningkatan dramatik adalah Rwanda yang merupakan negara berpendapatan rendah. Penurunan kadar kematian bayi lebih dari separuh kadarnya dari 1990 hingga 2016, menggambarkan bahawa keterbukaan negara untuk melabur dalam sistem kesihatan adalah sangat penting.

Selain itu, pendidikan ibu juga penting. Bayi yang dilahirkan kepada ibu tanpa pendidikan menghadapi hampir dua kali risiko kematian awal berbanding bayi yang lahir melalui ibu-ibu yang mempunyai sekurang-kurangnya pendidikan menengah.

Negara-negara yang mempunyai kadar kematian bayi yang sedikit, selepas Jepun, kebanyakannya berada di negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan dan penjagaan kesihatan yang kuat: Iceland (satu dalam 1,000 peluang kematian), Singapura (satu dalam 909), Finland (satu dalam 833), Estonia dan Slovenia (kedua-duanya satu dalam 769), Cyprus (satu dari 714) dan Belarus, Luxembourg, Norway dan Korea Selatan (semuanya dengan risiko satu dalam 667).

Benua Afrika dominasi kadar kematian bayi baru lahir

Daripada 10 negara berisiko tertinggi, lapan berada di Afrika sub-Sahara, negara-negara di mana wanita hamil berkemungkinan kurang mendapat bantuan disebabkan kemiskinan, konflik atau institusi yang lemah.

Lapan negara terbabit adalah Republik Afrika Tengah (satu dalam 24 risiko kematian), Somalia, Lesotho, Guinea-Bissau dan Sudan Selatan (26 risiko kematian), Ivory Coast (satu dari 27), Mali dan Chad (kedua-duanya dengan satu dalam 28 risiko kematian).

Susu ibu tingkat imunisasi

Kajian The Lancet Series, jurnal kesihatan atas talian membuktikan amalan menyusukan bayi boleh menyelamatkan nyawa si kecil.

Unicef dalam penyelidikannya mencatatkan penurunan kes kematian kanak-kanak.

Catat penurunan

Amalan menyusukan bayi juga mencatatkan penurunan kadar serangan kanser rahim dan payu dara dalam kalangan ibu.

Kajian The Lancet Series itu juga menyatakan, amalan tersebut menyelamatkan nyawa lebih 820,000 kanak-kanak dalam tempoh penyelidikan selama satu tahun.

Daripada jumlah itu, laporan kajian juga menyatakan, sembilan daripada 10 kanak-kanak itu adalah bayi berumur bawah enam bulan.

Tangani masalah cirit-birit

Amalan menyusukan bayi dengan lebih kerap mencegah hampir separuh risiko serangan cirit-birit dan satu pertiga daripada jangkitan pernafasan.

Dua penyakit itu adalah penyebab utama kematian dalam kalangan kanak-kanak bawah umur lima tahun.

Kajian itu juga menunjukkan menunjukkan risiko ibu yang menyusukan bayi mereka didapati kurang risiko mendapat kanser payudara, dengan kadar pengurangan sehingga enam peratus.

Kadar penyusuan ibu terkini mencegah hampir 20,000 kematian daripada kanser payudara setiap tahun.

Jumlah itu mungkin boleh meningkat sekali ganda lagi dengan peningkatan amalan menyusu badan.

Pengurangan 36 peratus kematian mengejut

Penyusuan ibu dikatakan, menurunkan kadar kematian kanak-kanak di dalam negara berpendapatan tinggi.

Ini dikaitkan dengan pengurangan sehingga 36 peratus kematian mengejut dalam kalangan bayi. Juga dicatatkan kadar penurunan sehingga 60 peratus dalam penyakit paling kerap ditemui dalam kalangan bayi pramatang iaitu penyakit usus.

Seorang kanak-kanak yang menyusu dalam tempoh lama tiada risiko untuk menghidap masalah berat badan berlebihan ketika proses membesar.

The Lancet Series mendapati kerugian kognitif turut dikaitkan dengan amalan tidak memberi susu ibu. Keadaan ini memberi kesan kepada potensi pendapatan, berjumlah sehingga AS$302 bilion (RM1.254 trilion) setahun.

Kurang risiko kanser ovari

Tempoh menyusu ibu yang lebih lama juga dikaitkan dengan pengurangan risiko untuk menghidap kanser ovari.

Ketua Nutrisi Unicef, Werner Schultink berkata, amalan menyusu bayi memberi kesan yang penting ke atas kesihatan wanita dan kanak-kanak di samping membantu ekonomi negara kaya dan miskin.

“Siri terbitan itu menyediakan bukti penting untuk kes membabitkan amalan penyusuan ibu menjadi penanda aras kepada tahap kesihatan, proses tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak.

“Kesejahteraan ini menyumbang kepada masa depan yang lebih berdaya saing dan makmur,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment