Janji jaga anak hingga akhir nyawa

Monday, February 26, 2018

Janji jaga anak hingga akhir nyawa

Janji jaga anak hingga akhir nyawa

PORT DICKSON: Bapa kepada kanak-kanak berusia enam tahun yang menghidap penyakit kepala besar atau 'hydrocephalus' mahu terus berusaha merawatnya selagi ada hayat.

Mohamad Samser Mohd Timar, 47, berkata beliau reda jika ditakdirkan pergi dulu, namun tidak akan berhenti berusaha untuk merawat anaknya, Muhamad Fitrah.

Ditemui di rumahnya di Kampung Jimah Lama di sini, hari ini, beliau berkata anaknya itu terlantar sejak dua tahun lalu selepas menjalani pembedahan pertama di kepala.

"Fitrah baru seminggu dibenarkan pulang selepas dirawat selama dua bulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tetapi akan dimasukkan ke HKL semula untuk menjalani pembedahan memasukkan tiub ke dalam perut bagi memudahkannya menerima makanan dan minuman.

"Perbelanjaan setiap kali dimasukkan ke HKL amat tinggi kerana saya perlu kerap berulang-alik dari rumah ke Kuala Lumpur, selain memastikan isteri mempunyai wang belanja mencukupi selama menjaganya di sana," katanya.

Isterinya, Maisus Lenti, 40, berkata selama dua bulan anaknya dirawat di HKL, beliau dan suaminya terpaksa berjimat-cermat dan menahan lapar kerana perbelanjaan banyak digunakan untuk menampung kos pengangkutan serta keperluan lain termasuk lampin pakai buang.

"Suami hanya kerja kampung dan kami selalu putus belanja, namun kami reda dengan ujian Allah dan akan terus menjaga anak syurga ini sehingga akhir hayatnya.

"Pernah juga kami terpaksa meminjam duit dari jiran kerana kehabisan duit. Demi anak, kami rela tebalkan muka dan percaya janji Allah itu benar, Allah tidak akan menguji kami lebih daripada kemampuan kami," katanya.

Katanya, Muhamad Fitrah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, namun jumlah itu tidak mencukupi.

"Fitrah perlu di bawa ke HKL setiap dua minggu untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan berkala, biasanya akan ditahan di wad beberapa hari sebelum dibenarkan pulang.

"Kami berharap mendapat sumbangan daripada sesiapa sahaja yang prihatin, khususnya untuk menampung kos rawatan anak bongsu daripada lima beradik ini yang memerlukan perbelanjaan agak tinggi,' katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment