Indahnya pemandangan di puncak Bukit Keluang

Saturday, February 3, 2018

Indahnya pemandangan di puncak Bukit Keluang

Indahnya pemandangan di puncak Bukit Keluang

KAMPUNG RAJA -  Selain popular dengan pantai yang cantik, Pantai Bukit Keluang kini turut terkenal dengan tarikan aktiviti mendaki Bukit  Keluang apabila ribuan pendaki mengambil peluang mendaki puncak itu pada setiap hujung minggu.

Bukit Keluang yang terletak di tepi pantai menghadap Laut China Selatan dengan ketinggian 396 meter dari aras laut menjadi tumpuan pendaki yang datang dari jauh mahupun dekat kerana pendakian tidak rumit.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ramai pendaki memulakan pendakian ke puncak bukit itu seawal jam 7  pagi.

Bilangan pendaki semakin meningkat selepas jam 8 pagi menyebabkan  kawasan puncak Bukit Keluang yang mula popular sejak beberapa tahun lalu itu sesak dengan pendaki terdiri daripada pelbagai lapisan umur termasuk pelajar sekolah.

Seorang pendaki, Kamarul Azam Mat Rani, 36, berkata, dia sudah kerap kali datang mendaki puncak Bukit Keluang kerana tertarik dengan keindahan di samping sebagai aktiviti yang dapat menyihatkan badan.

Menurutnya, dia sanggup datang dari Kota Bharu, Kelantan pada hujung minggu mendaki untuk menyaksikan matahari terbit pada awal pagi dan pemandangan jajaran Bukit Keluang serta melihat laut yang terbentang luas di hadapannya.

“Kami bersama Persatuan Grab Kota Bharu bertolak seawal jam 5 pagi dari Kota Bharu dan mula mendaki selepas selesai solat Subuh,” katanya.

Sementara itu rakannya,  Wan Muhammad Arif Fikri Abdullah, 30, berkata, dia yang baru pertama mendaki Bukit Keluang amat teruja dengan keindahan dan pemandangan  ketika berada di puncak tersebut.

Menurutnya, selama ini dia hanya mendengar cerita rakan dan melihat gambar mengenai Bukit Keluang  tetapi kali ini berpeluang sendiri melihat dan menikmati keindahan di sini.

“Berada di puncak Bukit Keluang sangat unik berbeza dengan mendaki bukit lain kerana ia terletak betul-betu di tepi laut menghadap Laut China Selatan yang dihadapannya terbentang dua pulau iaitu Pulau Rhu dan Pulau Perhentian.

“Pendek kata pengalaman berada di sini sangat mengasyikkan walaupun untuk sampai ke puncak agak memenatkan sedikit,” katanya.

Mereka berdua antara ribuan pengunjung yang mendaki bukit tersebut pagi kelmarin dan rata-rata kelihatan puas sebaik tiba di puncak meskipun sebelum itu pelbagai ragam pendaki dapat dilihat seperti yang keletihan malah ada hampir pengsan.

Puncak Bukit Keluang boleh dinaiki melalui dua laluan samada melalui trek yang terletak berhampiran kawasan perkedaian pantai Bukit Keluang atau laluan kedua di bahagian tengah bukit dilaluan ke muara Sungai Keluang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment