Wanita hilang dipercayai ikut rakan

IPOH: Seorang wanita yang dilaporkan hilang dipercayai lari mengikuti rakannya sejak dua minggu lalu masih gagal dihubungi hingga hari ini.
Samantha Leong Pui Yee, 28, dilaporkan hilang ketika sedang membantu ibunya berniaga di Pasar Borong Menglembu di sini, sejak 20 Disember lalu dipercayai mengikut seorang rakan perempuannya.
Ibu mangsa, Ng Chow Si, 55, berkata pada pagi hari kejadian, anaknya itu seperti biasa datang membantunya berniaga hasil laut di pasar berkenaan.
"Sebelum hilang pada hari kejadian, pada jam 8 pagi anak saya ada meminta duit 30 sen untuk ke tandas berdekatan pasar dan selepas itu dia langsung tidak muncul kembali membantu saya.
"Saya mencarinya di tandas, tetapi diberitahu pengawal di situ bahawa anak perempuan saya sudah keluar," katanya pada sidang media di perkarangan Pejabat Pasar Borong Menglembu di sini, hari ini.
Katanya, dia pernah beberapa kali cuba menghubungi telefon bimbit anaknya, namun gagal dan membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh pada 21 Disember lalu kerana bimbang keselamatan anaknya.
Katanya, sehari sebelum dilaporkan hilang, anaknya ada menghubungi ayahnya di Kuala Lumpur dan meminta membelikan kupon isian semula telefon prabayar miliknya.
"Saya mengesyaki dia mengikuti seorang rakan perempuan, namun tidak mempunyai maklumat mengenainya. Saya bimbang kerana anak saya itu seorang yang naif dan selalu ditipu serta dipermainkan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Ipoh Barat, Aldrich Low Guo Nan berkata, orang ramai dan saksi yang mempunyai maklumat berkenaan Pui Yee diharap dapat tampil membantu dan menghubungi balai polis berdekatan.
"Setakat ini, kita sudah menghubungi dan membuat susulan dengan balai polis berhampiran, namun masih belum ada perkembangan mengenai kes itu.
"Mangsa yang hilang mempunyai ketinggian 183 sentimeter (cm) dan mempunyai rambut paras bahu. Orang ramai yang ada maklumat diharap dapat tampil membantu" katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment