Langsir penarik rezeki?

Thursday, January 4, 2018

Langsir penarik rezeki?

Langsir penarik rezeki?

Soalan:

Apakah benar dakwaan, meletakkan langsir di hadapan pintu rumah adalah sunnah Nabi SAW dan ia boleh menarik rezeki?

J: Berdasarkan soalan di atas, setakat pencarian yang kami lakukan berkaitan isu ini, kami tidak mendapati atau menemui sebarang nas atau dalil daripada al-Quran ataupun hadis Nabi SAW yang menunjukkan bahawa dengan meletakkan langsir di hadapan pintu rumah dapat menarik rezeki dan juga boleh mengelakkan daripada terkena fitnah-fitnah jahat.

Oleh demikian, hayatilah hadis yang melarang seseorang itu menyandarkan atau mereka-reka sesuatu perkara dalam urusan agama. Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:  

“Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ianya tertolak.” (Riwayat al-Bukhari (2697) dan Muslim (1718))

 Hadis ini merupakan salah satu daripada asas yang penting di dalam Islam. Ia juga merupakan neraca kepada amalan zahir, di mana semua pekerjaan yang bukan daripada suruhan ALLAH SWT dan Rasul-Nya, maka ia adalah ditolak. Untuk itu, setiap orang yang mengada-ngadakan sesuatu perkara yang tidak dibenarkan oleh ALLAH SWT dan Rasul-Nya di dalam urusan beragama, maka ia bukanlah daripada agama ini.

Kesimpulannya: Menggunakan tabir atau langsir di pintu tidaklah menjadi masalah bahkan ia adalah digalakkan dengan tujuan agar orang di luar tidak boleh melihat apa yang ada di dalam rumah. Tambahan pula, terdapat hadis yang sahih berkaitan larangan Nabi SAW terhadap orang yang cuba mengintai ke dalam rumah serta hukuman yang berat bagi sesiapa yang cuba untuk mengintai ke dalam rumah orang lain tanpa izin.

Akhirnya, setiap amalan yang melibatkan urusan agama perlulah didasarkan dengan dalil-dalil sama ada daripada al-Quran mahupun hadis Nabi SAW. Semoga ALLAH SWT memberi kita kekuatan untuk terus menggali dan mengamalkan sunnah-sunnah Nabi SAW di dalam kehidupan seharian.

SS Datuk Dr Zulkifli Al Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan

SUMBER: Laman Web Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment