Wanita hilang 4 hari ditemui mati
ENDAU: Misteri kehilangan seorang wanita yang tidak pulang ke rumah selepas tamat kerja sejak Isnin lalu terjawab apabila mayatnya ditemui di dalam parit di jalan pintas FELDA Endau-Kampung Teriang dekat Batu Hampar, di sini, petang semalam.
Mangsa, Rozimah Abdul Manap, 42, dipercayai pulang dari tempat kerjanya di sebuah resort, di sini ketika hujan lebat dan air mulai naik di beberapa kawasan kampung di sekitar Endau.
Mangsa yang sering menunggang motosikal melalui jalan pintas di tepi Sungai Teriang Kecil itu untuk ke tempat kerjanya dipercayai dihanyutkan arus deras akibat limpahan air sungai.
Mayat mangsa ditemui adiknya, R Kharul Anuar, 34, kira-kira jam 6 petang semalam.
Anuar berkata, selepas empat hari mangsa tidak pulang dan gagal dikesan, hati beliau terdetik untuk menyusur dan cuba mencari di sekitar laluan yang biasa dilalui arwah.
"Ketika melalui kawasan itu, saya tidak perasan mayat kakak tertiarap di dalam parit itu kerana motosikal yang ditunggangnya terlindung di sebalik rumpai-rumpai.
"Malah, beberapa penduduk yang melalui kawasan itu menyangkakan mayat itu adalah karung baja yang hanyut.
"Ketika melalui kawasan itu kali kedua, saya ternampak kelibat seekor biawak yang saya sangkakan mahu memakan bangkai. Saya amati objek itu dan jelas ia mayat kakak saya berdasarkan baju yang dipakai ketika dia keluar dari rumah," katanya.
Suami mangsa, Mohd Fauzi Liman, 42, berkata sungguhpun sedih dengan berita kematian isterinya, beliau bersyukur kerana mayatnya ditemui,.
Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superintendan Mohd Nor Mohd Isa, berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.
"Siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut untuk mengenal pasti punca kematian," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment