Viral dulang ikan jatuh: MDKS beri penjelasan
SHAH ALAM: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) kesal rakaman video kejadian anggota penguat kuasanya didakwa menterbalikkan dulang ikan di Pasar Basah Pasir Penambang Sabtu lalu, disebarkan melalui media sosial.
Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunannya, Mohamad Yusli Askandar, melalui satu kenyataan hari ini, berkata kejadian kira-kira jam 10.30 pagi Sabtu lalu itu disebabkan sedikit perselisihan faham di antara anggota penguat kuasa dengan peniaga ikan terbabit.
Katanya, ketika itu, anggota penguat kuasa mengarahkan peniaga yang menghalang laluan, mengalihkan halangan berkenaan dan ketika mereka membantu, dulang ikan terjatuh ke lantai.
"Berhubung kejadian pada 13 Januari 2018, jam 10.30 pagi, penguat kuasa MDKS melakukan rondaan berjadual di pasar itu dan mendapati terdapat halangan di laluan awam.
"Semakan yang dilakukan mendapati terdapat dua amaran dikeluarkan kepada peniaga itu sebelum ini dan anggota penguat kuasa MDKS bertugas telah mengarahkan agar halangan berkenaan segera dialihkan.
"Berlaku sedikit perselisihan faham apabila penguat kuasa MDKS membantu peniaga terbabit mengalihkan halangan itu, menyebabkan ia terjatuh ke lantai," katanya.
Mohamad Yusli kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan perkara dan berharap kerjasama peniaga agar mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan MDKS untuk kesejahteraan bersama.
Katanya, MDKS juga sudah bertemu peniaga terbabit yang turut akur serta mengakui kesalahan yang dilakukan.
"Peniaga itu akan mematuhi arahan MDKS dari semasa ke semasa. Bagi memastikan setiap pasar dalam keadaan bersih, peniaga perlu mematuhi syarat dan peraturan penyewaan yang telah ditetapkan.
"Ia penting untuk mengatasi masalah halangan di laluan awam dan tidak meletakkan barang di luar petak perniagaan," katanya.
Pada masa sama, Mohamad Yusli berkata, MDKS akan mengambil tindakan ke atas tiga penguat kuasa yang terbabit dalam kejadian itu dengan tidak membenarkan mereka bertugas di lapangan.
"Siasatan dalaman akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya sambil meminta masyarakat menyalurkan aduan secara dalam talian berkaitan perkhidmatan MDKS di Sistem Talian Aduan Rakyat Selangor (STAR).
Katanya, aduan termasuk berkaitan salah laku rasuah atau disiplin yang membabitkan kakitangan MDKS juga boleh disalurkan menerusi emel di alamat aimdks@mdks.gov.my.
Beliau berkata, MDKS sentiasa memantau keadaan di Pasar Basah Pasir Penambang kerana pasar itu menjadi tumpuan orang awam dan pelancong dari luar untuk mendapatkan makananan laut segar.
Dalam rakaman berdurasi 1 minit 31 saat itu, kelihatan berlaku perselisihan faham dan seperti pertengkaran mulut di antara tiga anggota penguat kuasa MDKS dengan peniaga selepas dulang berisi ikan terbalik.
Seorang daripada anggota penguat kuasa juga dilihat mengambil gambar selepas kejadian berkenaan.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment