Tiga sekolah di Sarawak ditutup
KUCHING: Tiga sekolah rendah di negeri ini diarah tutup hari ini apabila paras air meningkat susulan hujan lebat semalam.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, penutupan itu membabitkan 223 murid.
Beliau berkata, dua daripada sekolah yang ditutup terletak di Baram, Miri iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bong dan SK Kuala Bok manakala sebuah lagi sekolah iaitu SK Kuala Kenyana di Mukah.
"SK Sungai Bong mempunyai 121 murid, 13 guru dan tujuh kakitangan pentadbiran manakala SK Kuala Bok dengan 62 murid,12 guru dan lapan kakitangan.
"SK Kuala Kenyana yang mempunyai 40 murid, 13 guru dan tujuh kakitangan pentadbiran membenarkan murid tinggal di asrama balik berikutan paras air semakin naik malam tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, lima sekolah rendah iaitu SK Sungai Kelabit, SK Sungai Seputi, SK Pengarah Enteri, SK Sungai Anak dan SK Iban Union turut terjejas akibat banjir tetapi masih beroperasi.
Sementara itu, katanya, seramai 30 mangsa banjir daripada lapan keluarga masih ditempatkan di Dewan Kampung Lutong, Sebangan di Sebuyau selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir sejak kelmarin.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment