Penantian 50 tahun dapat surau baharu tertunai
SELINSING - Penantian penduduk Kampung Parit 2, di sini mendambakan surau baharu sejak lebih 50 tahun lalu akhirnya tertunai apabila Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Serai bersetuju meluluskan peruntukan RM200,000 bagi tujuan pembinaan semula surau usang itu.
Pengerusi Surau Kampung Parit 2, Ridzuan Jamaluddin berkata, surau kampung itu yang digunakan penduduk sebelum ini sudah berusia lebih 50 tahun dan dibina berstrukturkan kayu sepenuhnya.
Bagaimanapun, Ridzuan menegaskan strukturnya tidak lagi kukuh dan mula mereput sehingga membahayakan keselamatan jemaah surau yang hadir untuk menunaikan solat.
Menurutnya, sejak dahulu lagi, surau ini sering dibaik pulih terutama di bahagian lantai papan, dinding dan siling bagi memastikan keselamatan jemaah yang menunaikan solat terjamin.
"Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, keadaan struktur surau sudah semakin teruk dan menyebabkan ramai penduduk kurang menggunakan tingkat atas surau itu untuk solat berjemaah, berkemungkinan bimbang atas keselamatan mereka.
"Malah, terdapat permasalahan jika imam surau mengimamkan solat berjemaah dari tingkat atas surau memandangkan tiada sebarang ruang pengudaraan yang menghubungkan tingkat atas surau dengan tingkat bawah bagi memenuhi syarat wajib solat berjemaah," katanya kepada media sewaktu menerima lawatan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali di sini hari ini.
Ridzuan yang juga Ketua Kampung Parit 2 berkata, pihaknya puas berusaha memohon pembinaan surau baharu memandangkan surau itu turut digunakan sebagai salah satu lokasi solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bagi kemudahan lebih 300 jemaah.
Selain itu, Ridzuan menegaskan aktiviti surau itu sangat padat dengan kuliah pengajian agama dan sering menjadi tumpuan penduduk warga emas untuk beribadat seharian.
"Setiap kali berlaku masalah kerosakan pada surau, kita cuba membaik pulih menggunakan peruntukan dana sumbangan orang ramai dan sebagainya namun struktur asal surau itu sudah semakin usang dan tidak lagi selamat.
"Meskipun surau sedia ada di atas tanah milik persendirian, kita tidak berdepan sebarang masalah untuk membina surau baharu kerana terdapat seorang individu sudah menyatakan persetujuan untuk mewakafkan tanah persendiriannya di kampung itu bagi tujuan itu,"katanya.
Sementara itu, Dr Noor Azmi yang hadir melawat keadaan surau usang itu segera meluluskan peruntukan RM200,000 bagi pembinaan semula surau baharu di tapak baharu yang diinfaq wakaf oleh seorang penduduk kampung itu.
Menurutnya, keadaan struktur surau itu yang terlalu usang dan tidak lagi selamat untuk digunakan menyebabkan pihaknya nekad untuk melaksanakan segera pembinaan surau baharu demi keselesaan penduduk.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment