SMO dapat sambutan majikan

Tuesday, January 2, 2018

SMO dapat sambutan majikan

SMO dapat sambutan majikan

PUTRAJAYA: Seramai 702 majikan sudah mendaftar masuk permohonan penggajian Pembantu Rumah Asing (PRA) menerusi Sistem Maid Online (SMO) sejak mula beroperasi semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata bilangan yang mendaftar itu direkod sehingga jam 12 tengah hari tadi menerusi capaian laman sesawang http://maid-online.imi.gov.my.

Sepanjang tempoh itu, katanya, SMO merekodkan 25,719 pelawat dan laman sesawang itu dapat diakses dengan mudah serta lancar.

"Pelawat boleh membuat penelitian terlebih dulu untuk memahami syarat dan prosedur permohonan pembantu rumah, mendapatkan maklumat asas serta terperinci sebelum memulakan proses pendaftaran.

"Ada juga majikan tidak dapat menyelesaikan proses pendaftaran kerana gagal melengkapkan syarat permohonan.

"Sepanjang tempoh SMO beroperasi, Jabatan Imigresen mengesan beberapa ralat dalam langkah pendaftaran ketika majikan mula memasukkan data pendaftaran.

"Langkah serta-merta diambil dengan membuat penambahbaikan bagi memastikan perjalanan pendaftaran dan operasi SMO lancar, sejajar tujuan program iaitu cepat, tepat dan jimat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mustafar berkata, SMO disediakan untuk kemudahan majikan yang ingin memohon PRA dengan cepat, tepat dan jimat tanpa melalui ejen.

Bagaimanapun, katanya, majikan yang memerlukan PRA tetapi tidak mahu menggunakan SMO masih boleh mendapatkan khidmat agensi PRA yang berdaftar.

"Majikan diingatkan membuat persediaan sepatutnya dan menyediakan dokumen lengkap sebelum memulakan proses pendaftaran PRA menerusi SMO bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar," katanya.

Sebelum ini, Mustafar memaklumkan proses penggajian PRA hanya mengambil masa lapan hari menerusi SMO.

Melalui SMO, permohonan PRA menjadi lebih cepat, tepat dan jimat kerana boleh dilakukan dalam masa singkat jika tiada masalah pada peringkat permohonan oleh majikan.

Sementara itu, tinjauan BH di Jabatan Imigresen di sini mendapati ada majikan yang datang untuk mendaftar permohonan secara dalam talian menggunakan komputer yang disediakan dengan bimbingan daripada pegawai bertugas.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment