Pemilik sedia serah PROTON Saga kepada pencipta nama
PENDANG: Pemilik PROTON Saga yang membeli kereta nasional itu daripada Staf Sarjan (B) Ismail Jaafar, sedia memenuhi amanat terakhir arwah untuk melihat kenderaan istimewa itu kembali kepada keluarga bekas tentera berkenaan.
Che Far Talib, 66, berkata beliau sedia menjual semula kereta itu yang dibelinya daripada seorang ejen di Sungai Petani sekitar 1991 lalu kepada ahli keluarga arwah.
Justeru, beliau mengalu-alukan ahli keluarga Ismail ke rumahnya di Kampung Bendang Raja, Mukim Rambai, dekat sini, jika mereka mahu berbincang mengenai perkara itu.
"Saya sayangkan kereta ini kerana ia kenderaan pertama saya beli. Kalau orang sebarangan orang yang nak beli, saya tak akan jual, namun jika benar itu hasrat arwah (Ismail), ahli keluarganya bolehlah datang berbincang.
"Kereta itu saya beli ketika isteri, Roziyah Che Ani, 63, mengandungkan anak bongsu kami yang kini berusia 26 tahun. Saya langsung tak tahu sejarah kereta itu sehinggalah beberapa tahun lalu, seorang lelaki mendakwa mengenali pemilik asalnya," katanya.
Ismail yang mencipta nama PROTON Saga meninggal dunia akibat sakit tua pada petang Jumaat lalu di rumahnya di Sungai Petani.
Arwah sebelum itu menyuarakan hasrat supaya anaknya mencari semula kereta yang dimenanginya pada 1985 itu.
Che Far yang bekerja sebagai petani, berkata beliau agak teruja mendengar cerita lelaki yang mendakwa rakan pemilik asal kereta itu kerana tidak menyangka PROTON Saga yang dibelinya pernah menjadi milik pencipta nama kereta itu sendiri.
"Sepanjang dalam milik saya, kereta ini banyak memudahkan urusan kerja seharian, saya guna angkut barang untuk ke sawah. Kini saya sudah membeli sebuah Toyota Hilux," katanya.
Cha Far berkata, PROTON Saga itu sudah jarang digunakan, namun kerana masih sayangkannya, ia tetap dijaga dengan baik dan diguna untuk membawa barang pertanian ke sawah.
"Ia sudah diubah suai dan dicat semula mengikut peredaran zaman, malah saya juga membelanjakan hampir RM10,000 bagi menukar enjin dan membuat sedikit penambahbaikan sehingga ia masih boleh digunakan sehingga kini.
"Sepanjang memilikinya, kereta ini saya sifatkan 'pandai jaga tuan' kerana tidak pernah rosak atau meragam sebarangan walaupun kereta terpakai," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment