Pelajar GiatMara baiki pendawaian rumah terjejas banjir
BERA - Kementerian kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menerusi GiatMara akan membantu membaiki segera pendawaian di semua rumah penduduk yang terjejas akibat banjir.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tugas itu akan dipertanggungjawabkan kepada pelatih-pelatih GiatMara di seluruh negara, selepas pihaknya mengenal pasti rumah-rumah yang memerlukan bantuan tersebut.
Menurutnya, walaupun pihaknya masih belum terima sebarang maklumat berkaitan namun bagi kerosakan awam berikutan banjir, setiap senarai kerosakan perlu diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk diserahkan kepada pihak Majlis Keselamatan Negara.
"Kalau ada kerosakan yang boleh disegerakan seperti masalah pendawaian, kita akan lakukan pembaikan pendawaian semula melalui GiatMara.
"Jadi, jika berlaku kerosakan pendawaian, mereka (penduduk) kena lapor kepada Ketua Kampung supaya kita boleh bertindak," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke pusat pemindahan Masjid Kampung Mengkarak, di sini, tadi.
Sebanyak 141 mangsa daripada 35 keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara di daerah Bera sejak banjir melanda pada Selasa lalu.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, pihaknya juga akan terus memastikan semua mangsa-mangsa banjir di seluruh negara mendapat pembelaan dan bantuan sewajarnya.
Katanya, KKLW telah menyediakan sebanyak 4,000 kit bantuan 'Survival Kit Prihatin KKLW' untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara.
"Kit bantuan ini mempunyai pelbagai barang keperluan seperti tuala, lampu picit, sabun, berus gigi dan ubat gigi berkenaan amat bersesuaian untuk kegunaan mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan.
"Setakat ini, kita sudah menagihkan sebanyak 1,500 kit di Pahang dan juga Sabah, dan ia akan terus diagihkan secara berperingkat," katanya.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment