MPHTJ memperkenalkan kiosk GIS pertama di negara ini
BANDARAYA MELAKA - Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), melancarkan kiosk Sistem Maklumat Geografi (GIS) papan sesentuh yang pertama di negara ini selaras dengan statusnya sebagai bandaraya pintar.
Kemudahan itu membolehkan komuniti di bawah pentadbiran pihak berkuasa (PBT) berkenaan memperoleh maklumat dan mengenal pasti potensi pembangunan tanah di kawasan masing-masing dengan cepat dan mudah.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman, berkata sebelum sistem itu diperkenalkan, orang ramai perlu merujuk secara manual atau membuka pelan.
"Bagaimanapun, dengan adanya kemudahan kiosk GIS papan sesentuh ini, pengguna tidak perlu lagi ke kaunter dan boleh menyemaknya sendiri.
"Sebagai contoh, mereka perlu memasukkan nombor lot tanah dan segala maklumat yang dikehendaki akan dipaparkan beserta gambar lokasi, sekali gus dapat menjimatkan masa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan kiosk itu di Kompleks Melaka Mall di sini, hari ini yang turut disertai Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Murad Husin.
Sementara itu, Murad berkata, selain maklumat data geometrik, kiosk tersebut turut mempunyai data sampingan lain seperti program kemampanan bandar dan bandar selamat, data anugerah dan pencapaian MPHTJ serta perkuburan bukan Islam.
"Orang ramai kini boleh menggunakan kemudahan bernilai RM50,000 itu di pejabat MPHTJ di tingkat dua, kompleks berkenaan.
"MPHTJ juga merancang untuk menginput data lain seperti maklumat gerai kosong, cukai dan kemudahan lain dalam tempoh terdekat.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment