Laman sosial medan belajar cipta dadah

Sunday, January 28, 2018

Laman sosial medan belajar cipta dadah

Laman sosial medan belajar cipta dadah

KUALA TERENGGANU: Kebanyakan dadah yang diproses di makmal persendirian, dicipta oleh individu atau kumpulan dengan hanya berpandukan laman sosial seperti YouTube.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata hasil serbuan di makmal memproses dadah mendapati kebanyakan 'pencipta' dadah hanya orang biasa dan tiada pendidikan khusus mengenai bahan kimia.

"Dalam beberapa siri serbuan dijalankan, memang kita ada menemui beberapa makmal memproses dadah. Kebanyakannya hanya makmal kecil yang memproses dadah untuk pasaran tempatan.

"Melalui siasatan dijalankan, kebanyakan menjadi ahli kimia di makmal terbabit bukan mereka yang berkelulusan tinggi tetapi ada pengetahuan tertentu berkenaan bahan kimia dengan mempelajarinya menerusi YouTube," katanya selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengawas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah di sini, hari ini.

Mohmad berkata, kebanyakan bahan terbabit dibeli dari farmasi, selain ada juga yang mendapatkannya daripada ejen menjual bahan terlarang secara haram.

"Kesan pengambilan dadah yang diproses di makmal persendirian seperti di kondominium, pangsapuri atau rumah ini bergantung pada keaslian bahan kimia dicampurkan.

"Jika tahap keaslian bahan terlarang yang digunakan bagus, maka ia akan dijual pada harga tinggi.

"Kebanyakan dadah diproses dan diedarkan di negara ini berharga sekitar RM8 hingga RM15 sebiji," katanya.

Mengulas mengenai pelbagai modus operandi pengedaran dadah dari semasa ke semasa, Mohmad berkata, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terkini supaya penjenayah berkenaan tidak terlepas daripada pihak berkuasa.

"Pelbagai kaedah digunakan pengedar bagi mengelirukan pihak berkuasa.

"Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ada pelbagai kepakaran tersendiri untuk mengesan seiring teknologi yang semakin canggih," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment