Masyarakat Sabah diminta tak mudah percaya berita palsu
KOTA BELUD - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menasihatkan masyarakat di Sabah agar tidak mudah terpedaya dengan berita palsu yang hanya memudaratkan rakyat dan negeri ini.
Beliau berkata berita palsu itu hanya menyebabkan perbalahan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.
"Kekuatan kita di Sabah adalah kepelbagaian. Tetapi kena ingat nasihat saya agar kita tidak sesekali tertipu dengan berita palsu.
"Bila mahu dekat pilihan raya akan banyak cerita-cerita yang mengarut akan timbul dan ia hanya bertujuan memecahbelahkan perpaduan kaum contohnya antara masyarakat Islam dan Kristian," katanya.
Abdul Rahman yang juga Anggota Parlimen Kota Belud berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Krismas 2017 dan Tahun Baharu 2018 di sini, malam ini.
Pada masa sama, beliau berkata apa pun pertimbangan yang dilakukan sama ada pertaruhan kuasa atau undi, masyarakat perlu mengelakkan perbalahan dan perpecahan agama.
"Tidak kira kita dari politik mana...sama ada pembangkang atau kerajaan...kita perlu jaga perpaduan agama. Pengaruh politik adalah hal lain. Tetapi tentang perpaduan agama kita tidak boleh berkompromi kerana sejarah dunia telah membuktikan bahawa perbalahan antara agama adalah yang paling susah diselesaikan," tegasnya.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata selaku Anggota Parlimen beliau akan terus membela dan membantu komuniti Kristian di Kota Belud.
"Saya akan membantu pihak gereja yang memerlukan bantuan sama ada dalam bentuk peralatan atau membaik pulih gereja yang mengalami kerosakan," katanya.- Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment