Kerjasama polis, penduduk kurangkan aktiviti dadah di PPR

Sunday, January 14, 2018

Kerjasama polis, penduduk kurangkan aktiviti dadah di PPR

Kerjasama polis, penduduk kurangkan aktiviti dadah di PPR

KUALA LUMPUR: Kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar ibu negara semakin berkurangan hasil kerjasama rapat polis dan penduduk setempat.

Perkembangan positif ini juga hasil tindakan Polis Kuala Lumpur menempatkan pegawainya di PPR terpilih dalam usaha memantau kegiatan jenayah termasuk pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata sejak program terbabit dijalankan 25 November tahun lalu di 12 PPR terpilih di daerah Dang Wangi, Brickfields, Sentul, Wangsa Maju dan Cheras, kegiatan dadah menunjukkan pengurangan.

"Seramai 12 pegawai ditempatkan di 12 PPR terbabit untuk memudahkan penduduk setempat menyalurkan maklumat berhubung kegiatan jenayah dan dadah yang berlaku selain melakukan pemantauan.

"Hasilnya, kita mendapat tindak balas positif daripada penduduk namun usaha menangani jenayah secara sepenuhnya akan mengambil sedikit masa," katanya kepada pemberita pada Program Pencegahan Jenayah/Anti Dadah Polis Kuala Lumpur bersama Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Titiwangsa.

Program yang diadakan di Perumahan Awam Flat Seri Perlis 2 itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Menteri Kewangan II.

Menurut Mazlan lagi, program penempatan pegawainya di PPR akan dikaji setiap tiga bulan dan mungkin berlaku penambahan pegawai di PPR yang bermasalah.

Sementara itu, Johari berkata program Program Pencegahan Jenayah/Anti Dadah itu akan turut diadakan di beberapa lokasi lain dalam Parlimen Titiwangsa bagi menjalin hubungan lebih rapat dengan penduduk setempat.

"Ini adalah satu cara untuk kita bersama pihak polis memberi penerangan dan kesedaran tentang pentingnya usaha pencegahan jenayah serta penyalahgunaan dadah.

"Kita mengajak penduduk bersama-sama dengan pihak polis untuk memastikan gejala dadah dapat diatasi di peringkat akar umbi dan tidak sekadar mengharapkan tindakan oleh pihak polis semata-mata," kata beliau.

Jelas beliau, pihaknya akan mengambil tindakan secara konsisten dalam memastikan penduduk mempunyai kesedaran tinggi berhubung perkara itu selain membantu mengurangkan kadar jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Selain itu, kata Johari pihaknya turut bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) Komuniti Intervensi Dadah Malaysia ( KOMITED Malaysia ) yang digerakkan oleh bekas-bekas penagih dengan turun ke lokasi-lokasi panas memberi kesedaran kepada anak muda tentang bahaya dadah.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment