Kerajaan terus usahakan perlindungan insurans kepada mangsa

Tuesday, January 2, 2018

Kerajaan terus usahakan perlindungan insurans kepada mangsa

Kerajaan terus usahakan perlindungan insurans kepada mangsa

DUNGUN - Kerajaan akan terus berunding  dengan syarikat insurans bagi memberi perlindungan  kepada mangsa banjir di seluruh negara  kerana beberapa syarat yang dikenakan syarikat itu setakat ini tidak dapat dipenuhi manakala skim ditawarkan pula tidak bersesuaian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan  Kassim berkata, syarikat insurans tidak dapat menerima skim yang dicadangkan kerajaan disebabkan mahu perlindungan diberi kepada mangsa banjir selain meminta  dinyatakan angka, contohnya, insurans yang diambil itu untuk  500,000 atau 100,000 orang.

“Kita tidak boleh berbuat demikian. Kita hanya ambil insurans untuk kawasan yang kena banjir sahaja dengan cadangan mangsa hanya membayar RM10 dan kerajaan bayar RM67… kerajaan akan tanggung semua.

“Tapi kita masih tak dapat syarikat insurans untuk masukkan semua sekali kawasan yang ditentukan. Kita juga tak boleh ambil kawasan yang tak banjir, “ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika  melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Dewan Orang Ramai Pasir Raja di sini hari ini.

Menurutnya, insurans yang ditawarkan di Kemaman hanya melibatkan satu syarikat sahaja namun bagi memperluaskan skim itu, kerajaan berhasrat menambah bilangan syarikat.

“Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan terus berbincang selain meminta agar syarikat berkenaan tidak meletakkan jumlah dan berharap rundingan yang dilakukan tersebut akan membuahkan hasil,” katanya.

Skim insurans bencana diwujudkan berdasarkan satu pelan insurans menghadapi banjir yang diperkenalkan di Parlimen Kemaman sejak 2015, termasuk dalam model Kemaman Siap Siaga dan dikenali sebagai Skim Insurans Kampungku yang membolehkan mangsa banjir menerima pampasan RM1,000 dalam tempoh tiga hingga tujuh hari.

Melalui Model Kemaman Siap Siaga yang diperkenalkan selepas berhadapan banjir buruk pada 2014, penduduk daerah itu hanya membayar sebanyak RM50 dan tambahan RM24 lagi dibayar oleh Pejabat Parlimen Kemaman.

Bagi skim yang dicadangkan Nadma, setiap penerima hanya dikenakan bayaran RM10 manakala kos selebihnya ditanggung oleh kerajaan dengan nilai pampasan berjumlah RM1,000. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :


sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment