Juruteknik TM ditahan SPRM
KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik kanan Telekom Malaysia (TM) ditahan kerana disyaki terbabit rasuah dan salah guna kuasa membabitkan pengeluaran kabel dari stor syarikat telekomunikasi itu.
Suspek berusia 33 tahun ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur kira-kira jam 1.15 tengah hari tadi ketika hadir untuk membantu siasatan kes.
Sumber berkata, suspek adalah juruteknik kanan TM yang disyaki bersubahat dengan sekumpulan suspek lain yang sudah ditahan sebelum ini.
Kes itu membabitkan penggunaan 55 dokumen arahan penyelenggaraan yang mengandungi butiran palsu berkaitan kerja yang tidak wujud bagi mengeluarkan kabel dari stor TM.
"Suspek dijangka direman di IPD Dang Wangi esok bagi membantu siasatan," kata sumber berkenaan.
SPRM sebelum ini melakukan operasi besar-besaran di ibu negara, Selangor dan Negeri Sembilan selepas mendapat maklumat TM kerugian antara RM4 juta hingga RM6 juta akibat pengeluaran kabel dari gudang syarikat itu.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang bekas pembantu teknikal TM yang ditahan semalam, direman enam hari untuk membantu siasatan kes sama.
Suspek berusia 36 tahun ditahan di pejabat SPRM Kuala Lumpur kira-kira jam 7 malam ketika hadir untuk membantu siasatan kes terbabit.
Sementara itu, tempoh reman empat daripada sembilan suspek yang ditahan pada 10 Januari lalu berhubung kes sama, dibenarkan disambung selama tiga hari lagi, manakala lima yang lain dibebaskan dengan jaminan.
Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan maklumat berkenaan, tetapi enggan mengulas lanjut.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment