Jong Nam bertemu warga AS di Langkawi sebelum dibunuh
KUALA LUMPUR - Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara didakwa bertemu dengan seorang warga Amerika Syarikat (AS) di hotel sebuah pulau di Malaysia beberapa hari sebelum dia dibunuh pada Februari tahun lalu, menurut pegawai polis ketika perbicaraan, semalam.
Ketua Penyiasat Polis, Wan Azirul Nizam berkata, Jong Nam tiba di Malaysia pada 6 Februari 2017 sebelum ke Pulau Langkawi dua hari kemudian.
Dia bagaimanapun tidak dapat mengesahkan butiran lanjut, selain tidak dapat mengingat semula nama hotel di mana Jong Nam menginap serta nama lelaki rakyat AS tersebut yang dilihat bertemu dengan mangsa pada 9 Februari.
"Sehingga hari ini, identiti individu tersebut tidak dapat diperoleh," katanya ketika menjawab soalan diajukan Gooi Soon Seng yang merupakan peguam salah seorang tertuduh warga Indonesia, Siti Aisyah merujuk laporan akhbar harian Jepun, Asahi Shimbun.
Menurut laporan itu, Jong Nam dipercayai menyerahkan sejumlah besar data kepada ejen itu seperti dinyatakan analisis forensik Malaysia bahawa sebuah komputer riba turut ditemui bersamanya.
Wan Azirul dalam satu kenyataan mengesahkan komputer riba itu telah dihantar ke makmal forensik di Kuala Lumpur yang mengesahkan kali terakhir ia digunakan pada 9 Februari.
Laporan forensik menunjukkan beberapa data diakses daripada pemacu kilat USB disambung pada komputer riba pada hari sama.
Tetapi, Wan Azirul berkata, dia tidak dapat memastikan sama ada Jong Nam ada menyerahkan data itu di Langkawi atau pertemuan tersebut ada kaitan dengan insiden pembunuhan mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Jawapan pegawai polis itu menyebabkan Soon Seng menuduhnya seakan-akan cuba mengelak.
"Adakah anda mempunyai masalah ingatan? Anda maklumkan lakukan siasatan tetapi lupa segala butiran termasuk nama hotel. Apa tujuan siasatan jika ia tiada kaitan dengan kes ini?" tegasnya.
Sebelum ini, Siti Aisyah dan warga Vietnam, Doan Thi Huoang berdepan dakwaan membunuh bersama empat rakyat Korea Utara dengan menggunakan racun kimia VX di KLIA2 pada 13 Februari tahun lalu.
Perbicaraan disambung semula esok (Selasa). รข" Reuters
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment