Jiran bantu usung keluar dari rumah

Monday, January 15, 2018

Jiran bantu usung keluar dari rumah

Jiran bantu usung keluar dari rumah

KOTA BHARU: Seorang warga emas yang uzur dan tidak dapat berjalan terpaksa diusung keluar oleh jiran apabila rumahnya terbakar di Kampung Surau Kota 2, di sini.

Dalam kejadian pada jam 9.15 pagi tadi, Hashim Mahmud, 75, yang mengalami masalah pundi kencing dan tidak dapat berjalan kerana kakinya yang kecil terpaksa diusung sebaik jiran mendengar jeritan meminta tolong dari isterinya, Rohani Othman, 65.

Rohani berkata sebelum kejadian, dia sedang tidur di tingkat bawah manakala suaminya berada di tingkat atas rumah dan bekalan elektrik di rumahnya tiba-tiba terputus.

"Saya kemudiannya terdengar bunyi yang kuat di tingkat atas dan terus naik untuk melihat apa yang berlaku dan alangkah terkejutnya apabila nampak api daripada kotak fius di dinding.

"Saya terus mengejutkan suami yang tidur, untuk keluar rumah" katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Rohani berkata memandangkan suaminya tidak dapat berjalan, dia terus menjerit meminta tolong dan mujurlah ia didengari beberapa jiran yang terus datang menyelamatkan suaminya.

Katanya, mereka keluar dalam keadaan sehelai sepinggang tanpa sempat menyelamatkan sebarang dokumen penting, sebaliknya suaminya hanya sempat mengambil sejumlah wang yang disimpan di bawah bantalnya.

Dalam kebakaran itu tiga rumah hangus terbakar.

Ketua Balai Bomba Darulnaim, Wan Shahril Azizi Wan Said, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.31 pagi dan tiba di lokasi pada jam 9.40 pagi.

"Seramai 31 anggota dari Balai Kota Bharu dan Pengkalan Chepa dikerahkan ke lokasi bersama empat jentera termasuk dua anggota bomba sukarela.

"Punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment