Jangan 'main api' untuk raih sokongan
KOTA BELUD: Semua pihak diingatkan jangan 'bermain api' dengan memainkan isu agama hingga menggugat perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama khususnya di daerah ini demi meraih sokongan, menjelang pilihan raya.
Berikutan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, meminta rakyat tidak mudah percaya cerita yang belum diketahui kesahihannya yang mungkin sengaja direka untuk menggugat perpaduan.
"Kita bimbang ada pembohongan itu yang akan memudaratkan rakyat dan negara. Saya tahu menjelang pilihan raya ini akan lebih banyak lagi cerita mengarut yang boleh memecahbelahkan rakyat pelbagai kaum dan agama di daerah ini.
"Saya harap apa pun yang kita pertaruhkan sama ada kuasa atau undi, jangan pecahkan perpaduan antara agama. Soal politik adalah hal lain tetapi kita tidak akan bertolak ansur jika ia berkaitan perpaduan antara agama.
"Jika perpecahan atau peperangan disebabkan ideologi, ia boleh diselesaikan tetapi jika sebab agama, sampai bila-bila tak selesai," katanya pada majlis makan malam Krismas dan Tahun Baharu 2018 di sini, malam tadi.
Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Musbah Jamli dan ADUN Kadamaian, Jeremy Malajad.
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana agama termasuk Kristian di negara ini.
"Rakyat beragama Kristian di daerah ini tidak terpinggir dalam arus pembangunan dan kebajikan. Saya harap penganut agama Kristian tidak bimbang kerana kebajikan mereka kita akan perkukuhkan.
"Saya akan pastikan apa juga permasalahan penganut agama itu akan kita penuhi, malah saya sendiri melantik pegawai khas beragama Kristian di Pejabat Perhubungan Parlimen sebagai penghubung," katanya.
Beliau turut mengumumkan, 20 masyarakat beragama Kristian termasuk pastor akan dihantar ke Jurusalem pada tahun ini, berbanding 10 pada tahun lalu.
Sempena majlis itu, Abdul Rahman menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada empat sekolah dikendalikan gereja di daerah ini dengan masing-masing menerima RM5,000.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment