Hilang empat hari, ditemui dalam tali air
MERSING - Seorang wanita ditemui maut dalam sebuah parit sedalam dua meter di Batu Hampar, Jalan Mersing-Endau selepas dikhabarkan tidak pulang ke rumah selama empat hari.
Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing, Asisten Superitendan Mohd Nor Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan penemuan mayat wanita tersebut petang, semalam.
"Hasil siasatan mendapati mangsa, Ruzimah Abd Manap berusia 42 tahun beralamat di Felda Endau tidak pulang ke rumahnya sejak 1 Januari lalu.
"Mangsa ditemui di parit Batu Hampar dan motosikalnya ditemui selepas air surut di kawasan tersebut lebih kurang 20 meter daripada mayatnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa yang meninggalkan suami dan tiga orang anak itu dipercayai sering melalui jalan pintas di tepi Sungai Teriang Kecil tersebut untuk ke tempat kerjanya yang terletak di Endau.
Mayat mangsa ditemui adiknya, R Kharul Anuar, 34 yang keluar mencari di kawasan berkenaan.
Menurut Mohd Nor, bedah siasat yang dijalankan petang tadi mengesahkan mangsa maut akibat 'Traumatic Cardiac Contusion'.
"Post mortem terhadap mayat tersebut telah dilakukan hari ini jam 3.30 petang di Hospital Sultan IsmaiI oleh Pakar Perubatan Forensik.
"Hasil bedah siasat mendapati, punca kematian adalah 'Traumatic Cardiac Contusion' di mana mangsa telah jatuh dan menyebabkan lemah di bahagian jantung," katanya.
Katanya, tiada sebarang kesan kecederaan khianat ditemui pada badan mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment